Khutbah Aidilfitri dalam bahasa Temiar di Pos Hendrop

Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop
Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 500 masyarakat orang asli yang beragama Islam akan mengikuti khutbah dalam bahasa suku kaum Temiar di Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop, di sini, pada solat sunat Aidilfitri nanti.

Khutbah dalam bahasa Temiar itu akan dibaca sendiri Imam Masjid itu dalam kalangan kaum berkenaan, Arif Rami, supaya dapat difahami dan ahli jemaah mendalami lagi agama itu khususnya dalam kehidupan harian mereka.

Arif berkata, beliau dilantik imam masjid itu oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) lebih 10 tahun lalu untuk mengimamkan setiap solat lima waktu dan mengajar mengaji al-Quran serta Fardhu Ain untuk melengkap diri mereka dengan ilmu agama.

Katanya, masjid terulung di Kelantan di perkampungan orang asli membabitkan imam dilantik kalangan orang asli menarik tumpuan kaum itu sama ada menunaikan solat lima waktu, solat jumaat dan tidak kurang juga solat sunat Aidilfitri.

"Syukur Alhamdulillah, kaum orang asli di Pos Hendrop ini sentiasa sentiasa memenuhi masjid untuk mengerjakan ibadat termasuk juga solat sunat Terawih bulan Ramadan," katanya ketika ditemui di sini.

Arif berkata, khutbah dalam bahasa suku kaum Temiar itu juga pada setiap kali solat Jumaat kerana sekiranya dibaca dalam bahasa Melayu ramai dikalangan mereka tidak memahaminya.

"Masjid kita ini juga dilantik bilal daripada kaum orang asli dan masuk waktu sahaja dia datang lebih awal untuk melaungkan azan," katanya.

Katanya, mereka yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih juga ramai dan begitu juga solat Subuh dan ini menunjukan kaum itu yang memeluk Islam memahami kewajipannya menunaikan solat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk orang asli beragama Islam, Lian Buyong, 42, berkata, dia lebih selesa berada dalam agama Islam berbanding hidup dengan tidak beragama sebelum ini.

Katanya, ini kerana tubuhnya lebih suci disamping memberi ketenangan apabila menunaikan solat berjemaah di masjid sebagai yang dituntut agama.

"Saya memeluk agama Islam ketika usia 20 tahun lagi dan lebih selesa mendalami agama itu dengan imam yang dilantik dari kaum Orang Asli juga di masjid berkenaan," katanya. - Bernama