'TNB buat silap, pengguna kena tanggung': MBM
SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar bersikap lebih sensitif kepada keluh resah pengguna, berhubung isu peningkatan kos bil elektrik.
Ketua Penerangannya Wan Mohd Husni Abdullah berkata, MBM menerima banyak aduan pengguna yang rata-rata daripada kalangan anak muda yang memperlihatkan kekecewaan mereka terhadap TNB dalam menangani isu berkenaan.
"Alasan TNB mengatakan bil elektrik terkini adalah bacaan sebenar daripada sistem baharu yang diguna pakai sekaligus memaksa pengguna membayar bil untuk tempoh dua bulan.
"Memudahkan bahasa, “TNB buat silap, pengguna kena tanggung”. MBM berpendapat sekiranya terdapat kesilapan sekalipun, tiada salahnya pihak TNB sendiri yang menanggungnya memandangkan keuntungan yang diraih berjuta-juta saban tahun," katanya melalui kenyataan media hari ini.
Justeru MBM menyarankan agar pihak TNB lebih prihatin dengan keadaan masyarakat ketika ini, yang terbeban dengan banyak perkara.
"Di tambah pula musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi," katanya.
Oleh itu, MBM menuntut pihak TNB agar segera menjelaskan sebab musabab berlakunya perkara tersebut kepada umum agar rakyat Malaysia tidak terus dilanda ketidaktentuan.
ARTIKEL BERKAITAN: Buat aduan bil elektrik ke Kedai Tenaga: TNB
TNB sebelum ini meminta pelanggannya untuk mengemukakan terus aduan berhubung bil elektrik yang tinggi ke Kedai Tenaga.
TNB dalam satu kenyataan berkata, ini kerana data pengguna hanya boleh diakses di Kedai Tenaga.
Sebelum ini, ramai pengguna media sosial mendedahkan bil elektrik mereka melambung tinggi.
Bagaimanapun, TNB menjelaskan jumlah bil elektrik yang perlu dibayar adalah berdasarkan kepada bacaan meter.