Selenggara sistem perparitan elak banjir kilat

Raja Kamarul Bahrin (kanan) sewaktu turun padang meninjau kesan banjir di Kampung Pengkalan Ajal, semalam.
Raja Kamarul Bahrin (kanan) sewaktu turun padang meninjau kesan banjir di Kampung Pengkalan Ajal, semalam.
A
A
A
KUALA BERANG - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu sentiasa melakukan pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur longkang serta sistem perparitan bagi kurangkan risiko berlakunya kejadian banjir kilat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pemantauan perlu dilakukan secara berterusan bagi pastikan aliran air berjalan lancar.

"Kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan longkang, tali air atau sistem perparitan harus dilakukan dari semasa ke semasa agar pergerakan air tidak terhalang hingga menyebabkan berlakunya banjir kilat.

"Merujuk kepada banjir kilat di Kuala Terengganu awal pagi hari ini(semalam), maklumat awal diperolehi kejadian berlaku turut disebabkan faktor pertembungan air pasang serta hujan lebat.

"Perhatian perlu diberikan berkaitan penyelenggaran longkang, PBT perlu sentiasa pantau berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat berkaitan banjir sempena lawatannya bagi melihat kesan-kesan banjir berlaku di daerah ini dan hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Sharikan Bustaman.

Dalam perkembangan banjir, beliau turut mengingatkan penduduk agar waspada dengan gelombang banjir seterusnya yang mungkin boleh berlaku dan meminta mangsa sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa.

"Memandangkan musim tengkujuh belum berakhir, kita harapkan penduduk di kampung yang berisiko agar berhati-hati. Kita juga yakin pasukan bomba sentiasa siap sedia hadapi pelbagai kemungkinan," ujarnya.

Sementara itu, untuk rekod bagi Hulu Terengganu banjir gelombang pertama berlaku pada 13 hingga 14 Disember lalu melibatkan 1,645 mangsa daripada 449 keluarga.
Artikel Berkaitan:


Manakala, gelombang kedua ialah pada 15 hingga 16 Disember membabitkan 53 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 227 orang dan pusat pemindahan sementara terakhir ditutup ialah di Pengkalan Ajal sekitar jam 3 petang kelmarin.