Kerajaan Kedah tak perlu gopoh tunai janji manifesto

TAN KOK YEW
TAN KOK YEW
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak perlu gopoh menunaikan janji-janji manifesto semata-mata untuk memuaskan hati rakyat, apatah lagi dasar dan perancangan itu tidak menepati kehendak rakyat.

Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, jika apa yang dilaksanakan itu tidak memanfaatkan rakyat, apa gunanya tunaikan janji sedangkan ia bukan keperluan.

Menurutnya, kerajaan PH bukan bermain wayang, sebaliknya sedang meneliti dasar terbaik dan merangka pelan pembangunan perumahan lebih holistik.

“Jika kita tergesa-gesa dan hasilkan dasar yang tidak berkesan, tiada faedahnya. Harap rakyat faham bahawa beberapa aspek seperti perumahan perlukan kajian mendalam agar lebih menepati sasaran,” katanya.

Kok Yew berkata, buat masa ini, pihaknya dalam proses menyelesaikan kes-kes berkaitan perumahan yang tertunggak, selain menambah baik dasar perumahan negeri sedia ada.

“Saya mahu selesaikan kes tertunggak satu persatu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, namun kita berdepan kekangan kewangan dan perundangan. Ini menyebabkan kita perlukan lebih masa,” katanya.

Menurutnya, antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Naga Sari melibatkan 312 unit dan PPR Kampung Kilat sebanyak 500 unit belum diserahkan kepada pemilik.

“Kita akan pastikan semua projek yang siap diagihkan dahulu. Ini termasuk penyerahan hak milik rumah di Taman Wira, Flat Alor Malai, Flat Charok Nau di Baling, di mana penyewa sudah selesai lunaskan sewa beli rumah, namun belum diberikan geran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pada masa sama, isu tunggakan sewa rumah perumahan awam juga akan diteliti bagi mencari mekanisme terbaik berdasarkan kemampuan penyewa.

Kok Yew berkata, aspek lain yang diberi penekanan adalah penawaran rumah berlebihan di kawasan tertentu, antaranya Sungai Petani dengan jumlah melebihi 3,000 unit rumah.

“Berdasarkan laporan pasaran hartanah, Kedah menawarkan rumah siap dibina namun tidak terjual. Kita akan kenal pasti masalah ini dan tangani segera, ada kawasan permintaan tinggi namun tiada rumah dibina atau sebaliknya, mungkin strategi kerajaan terdahulu tersasar, jadi kita tak mahu ulangi kesilapan itu,” katanya.

Menurutnya, tawaran manifesto merangka dasar 1 rumah 1 keluarga juga sedang dilaksana, di Bandar Aman Jaya dan Taman Sinar Intan di Sungai Petani.

“Sebanyak 188 unit rumah mampu milik kepada golongan muda berpendapatan RM3,000 ke bawah disediakan. Kita terima 400 permohonan dan kini melalui proses tapisan untuk diserahkan tahun ini,” katanya.

Kok Yew berkata, rundingan dengan pemaju swasta juga diadakan bagi membina rumah mampu milik Harapan, bernilai bawah RM300,000.

“Antara perancangan di Kota Setar, Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu. Harga rumah akan dipelbagaikan mengikut golongan sasaran agar ia mampu dibeli,” katanya.

Menurutnya, beberapa prosedur pembangunan ditambah baik bagi memastikan pemaju dapat membina rumah dengan cepat dan kos minima.

Kok Yew turut berkongsi data Jabatan Statistik Negara, di mana peratusan pemilikan rumah di Kedah adalah tinggi, iaitu 86 peratus.

“Hanya 14 peratus sahaja tidak miliki rumah. Kedah berada di tangga ketiga daripada keseluruhan negeri dan ia pencapaian memuaskan,” katanya.