Pemuda Pas Perak pertahan Dr Maszlee

AHMAD FAISAL- PEMUDA PAS PERAK
A
A

IPOH - Pemuda Pas Perak menggesa semua tokoh berpengaruh dan pimpinan politik Melayu di negara ini mempertahan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam isu kuota Bumiputera matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan.

Ketuanya, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, melalui budaya politik matang dan sejahtera menegaskan, sokongan Pas bukan atas dasar batang tubuh ataupun politik kepartian, tetapi atas dasar serta prinsip yang menguntungkan rakyat.

Beliau berkata, pemimpin Melayu dalam kerajaan seharusnya bertindak tegas mempertahankan keputusan Kabinet dan merasionalisasikan pandangan awam secara ilmiah.

"Benak fikir pemimpin Melayu Islam dalam kerajaan hanyut dengan tema Rahmatan Lil 'Alamin yang senarionya cenderung mempertahankan bukan Melayu-Islam bagi menunjukkan sifat rahmah mereka.

"Dalam isu kuota matrikulasi ini, mereka seolah-olah takut memberi komentar, mungkin alergi dengan perkataan Melayu dan Bumiputera, bimbang dituduh rasis dan fanatik perkauman," katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai desakan beberapa pemimpin politik daripada MCA, Gerakan dan DAP yang menuntut Maszlee memohon maaf dan menarik balik kenyataan selain membidas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu kerana mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Sementara itu, Ahmad Faisal berkata, pemimpin Melayu di dalam kerajaan tidak seharusnya berdiam diri dan memilih isu-isu yang memberi keuntungan peribadi sahaja.

Katanya, keadilan dalam Islam bererti memberi hak kepada yang berhak dan bukannya diukur dengan nilai kesamarataan semata-mata.

"Pemuda Pas Perak mendesak agar semua tokoh berpengaruh, NGO, pertubuhan kemasyarakatan dan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya pemimpin Melayu dalam kerajaan PH bersikap berani dan tegas menyatakan pendirian mempertahankan Menteri Pendidikan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuota matrikulasi: Kerajaan harus pertahankan Maszlee

Terdahulu, perkara sama turut dibangkitkan Exco Armada, Muzzamil Ismail yang menggesa kerajaan mempertahankan Maszlee daripada serangan media dan tekanan politik berhubung isu kuota matrikulasi.

Katanya, tindakan pimpinan tertinggi DAP, MCA dan Gerakan jelas sekadar berlumba-lumba menjadi jaguh kaum.

Beliau mengingatkan kenyataan sensitif yang dikeluarkan pimpinan adalah seperti bom jangka yang boleh meletupkan keharmonian.

“Desakan dan gesaan agar kuota dihapuskan adalah kerja gila dan tidak berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Malah, tema Malaysia Baharu tidak hanya berkait rapat dengan kesamarataan iaitu penghapusan kuota terhadap kaum.

“Nasihat saya, tidak bersetuju atau berpuas hati bukan lesen membodohkan individu. Awas, kenyataan sensitif yang dikeluarkan pimpinan adalah seperti bom jangka yang boleh meletupkan keharmonian,” katanya.