Kes tuntutan faraid harta 2 bilion Jamaludin Jarjis didengar 25 Julai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujahan bantahan awal balu dan tiga anak bekas menteri Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015, terhadap permohonan tuntutan sijil faraid oleh ibu Jamaludin akan didengar 25 Julai ini.

Hakim Syarie Zaim Md Yudin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

“Mahkamah tetapkan tarikh untuk penghujahan dan sekiranya ada mana-mana isu yang perlu dihuraikan, mahkamah akan dengar (pada hari tersebut),” kata hakim itu.

Kedua-dua pihak juga diperintahkan membuat hujahan secara bertulis dan boleh menambah hujahan secara lisan sekiranya ada.

Pada prosiding hari ini, Aminah, 85, selaku plaintif diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Nur Hidayah A. Bakar manakala peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman mewakili balu Jamaludin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, 63, dan empat anak Jamaludin diwakili peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman.

Bagaimanapun hanya Aminah yang hadir pada prosiding itu.

Kalsom dan empat anaknya, Ikwan Hafiz, 32, Nur Anis, 34, Nurul Alyaa, 28, dan Noor Adilla, 24, yang merupakan defendan pertama sehingga keempat sebelum ini mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Aminah bagi mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Jamaludin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

Aminah memfailkan permohonan itu pada 2 Mac tahun lepas mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun dan merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. - Bernama