Negara Islam disaran wujudkan pelan bantuan kepada Palestin

Rakyat Palestin melihat kemusnahan di sekitar runtuhan bangunan yang dilanda semasa serangan udara Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP (Gambar kecil: Dr Muzaffar Syah Mallow)
Rakyat Palestin melihat kemusnahan di sekitar runtuhan bangunan yang dilanda semasa serangan udara Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP (Gambar kecil: Dr Muzaffar Syah Mallow)
A
A
A

SHAH ALAM - Negara-negara Islam disarankan mengadakan perjumpaan dengan segera untuk mewujudkan pelan bagi menghulurkan sebarang jenis bantuan kepada rakyat Palestin khususnya kepada penduduk Semenanjung Gaza.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, pertolongan yang perlu disalurkan termasuklah bantuan asas kelengkapan ketenteraan, makanan, minuman, perubatan dan lain-lain.

“Ia boleh diberikan melalui semua cara sama ada darat, laut dan udara. Sekiranya terdapat sebarang tentangan atau serangan yang datang dari tentera Israel, maka tindakan ketenteraan juga perlu diambil dalam kalangan negara Islam.

“Negara-negara Islam antaranya Mesir, Jordan, Emirah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi memiliki kelengkapan serta jumlah tentera lebih daripada mencukupi bagi menghadapi sebarang serangan dari Israel serta sekutu kuatnya iaitu Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, PBB perlu membekukan atau memutuskan terus hubungan diplomatik dengan negara-negara Islam yang menjadi sekutu Israel.

“Sekiranya mereka gagal untuk menerima saranan ini, maka semua negara Islam harus menyekat hubungan diplomatik,” ujarnya.

Menurutnya, PBB juga harus mengecam segala tindakan atau keganasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin.

“Sekiranya pihak PBB gagal memenuhi syarat-syarat ini, maka semua negara Islam harus meninggalkan PBB dengan serta merta.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun cadangan dikemukakan kelihatan keterlaluan, namun kita tiada pilihan lain dan tidak boleh membiarkan umat Islam terus menderita atau dibuli oleh mana-mana pihak,” jelasnya.