Israel guna senjata dilarang terhadap orang awam di Gaza

Tangkap layar serangan bom fosforus di Khan Younis pada awal Isnin lalu. - Agensi
Tangkap layar serangan bom fosforus di Khan Younis pada awal Isnin lalu. - Agensi
A
A
A

GAZA CITY - Israel telah mula menggunakan fosforus putih yang diharamkan di peringkat antarabangsa dalam pengebomannya di Genting Gaza ketika ia terus menyasarkan kawasan perumahan padat penduduk di wilayah berkenaan.

Laporan oleh saluran berita Al-Alam berbahasa Arab berkata, tentera rejim Zionis telah melepaskan bom fosforus putih ke atas kawasan kediaman di Gaza pada awal Isnin lalu.

Bom fosforus merupakan senjata pembakar yang tidak diharamkan, namun penggunaannya di kawasan awam dianggap sebagai jenayah perang.

Malah, penggunaan senjata itu juga dilihat sebagai mencabul undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Bom fosforus merupakan unsur yang paling mudah menyala ketika di udara, selain sukar dipadamkan apabila api merebak dengan cepat.

Israel mengaku menggunakan peluru yang mengandungi fosforus putih semasa perang 2008-2009 ke atas Gaza tetapi rejim itu menafikan melanggar undang-undang antarabangsa dengan menegaskan bahawa senjata sedemikian tidak dilepaskan ke kawasan yang dihuni oleh orang awam.

Video yang diterbitkan di media sosial pada Isnin menunjukkan rejim melakukan serangan menggunakan bom fosforus putih ke atas kawasan berpenduduk padat di Gaza, wilayah Palestin yang terletak di Mediterranean di mana kira-kira 2.3 juta orang tinggal di bawah kepungan berterusan Israel.

Serangan itu adalah sebahagian daripada tindak balas besar-besaran yang dilancarkan Israel di Gaza sejak Sabtu apabila penempatan haramnya di wilayah Palestin berada di bawah siri serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh gerakan penentangan Hamas.

Artikel Berkaitan:

Lebih 680 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera akibat serangan Israel ke atas Gaza.

Hamas sebelum ini menegaskan bahawa serangan pada Sabtu ke atas penempatan dan pos tentera yang dikawal Israel adalah tindak balas terhadap keganasan yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Malah, 'Operasi Banjir al-Aqsa' juga adalah sebahagian daripada tindak balas Hamas susulan kehadiran berulang pelampau Israel di Masjid al-Aqsa, salah satu tapak paling suci dalam Islam yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!