5,000 dijangka sertai himpunan aman solidariti rakyat Palestin

Afnan Hamimi (duduk, dua dari kanan) bersama NGO dalam sidang media berkaitan Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin anjuran Pemuda Pas di Pejabat Agung Pas pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Afnan Hamimi (duduk, dua dari kanan) bersama NGO dalam sidang media berkaitan Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin anjuran Pemuda Pas di Pejabat Agung Pas pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 5,000 peserta dijangka menyertai Himpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang akan diadakan di Masjid Negara, di sini pada Jumaat ini.

Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin anjuran Pemuda Pas di Masjid Negara pada Jumaat ini
Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin anjuran Pemuda Pas di Masjid Negara pada Jumaat ini

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, himpunan anjuran parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dijadual bermula selepas solat Jumaat bagi menunjukkan tanda solidariti ke atas nasib Palestin.

"Pemuda Pas mengikut rapat pertempuran besar-besaran yang sedang berlaku ke atas saudara seagama di tanah berdaulat Palestin hari ini.

"Peperangan ini adalah satu simbolik penting kebangkitan penduduk di sana setelah sekian lama dipenjarakan di negara sendiri oleh Zionis dan diperlakukan dengan segala bentuk penindasan, rampasan tanah-tanah, hak milik serta pencerobohan Masjid Al-Aqsa iaitu tempat suci ketiga umat Islam.

"Ratusan nyawa terkorban malah ribuan juga tercedera yang kebanyakannya adalah golongan wanita, kanak-kanak serta warga tua. Tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ini mewajarkan kami untuk bertindak dan tidak berdiam diri di saat saudara seagama diperlakukan dengan zalim," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman mengenai himpunan itu di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin dilaporkan berkata, lebih daripada 123,000 rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dengan kira-kira 74,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Artikel Berkaitan:

Ini susulan serangan udara tentera Zionis Israel bertindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada Sabtu.

Tambah Afnan Hamimi, seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia diajak untuk turun bersama-sama di Masjid Negara bagi menyatakan bantahan dan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin.

"Kita nyatakan ketegasan mempertahankan kemuliaan tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada terus dihina dan diceroboh sesuka hati oleh Israel.

"Marilah kita bersatu hati, tanpa mengira bangsa dan agama waima fahaman politik untuk bersolidariti bersama demi saudara seagama kita," ujarnya.