Arab Saudi akan terus sokong rakyat Palestin

Penduduk Palestin membawa bekalan makanan ketika mereka berjalan melalui serpihan di tengah-tengah kemusnahan akibat serangan udara Israel di kawasan kejiranan al-Rimal di Gaza City. - Foto AFP
Penduduk Palestin membawa bekalan makanan ketika mereka berjalan melalui serpihan di tengah-tengah kemusnahan akibat serangan udara Israel di kawasan kejiranan al-Rimal di Gaza City. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Isnin mengadakan perbincangan menerusi telefon mengenai situasi di Gaza.

Dalam perbincangan itu, Putera Mahkota mengulangi bahawa Arab Saudi sedang berkomunikasi dengan semua pihak antarabangsa dan serantau untuk menghentikan serangan dan mencegah konflik daripada merebak di rantau ini.

Beliau turut menekankan mengenai pentingnya untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengelak menyasarkan orang awam.

Putera Mahkota berkata, kerajaannya sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka mendapatkan hak yang sah, merealisasikan harapan, aspirasi, serta mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, lapor agensi Akhbar Saudi pada Isnin.

Sementara itu, Abbas merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan (Arab Saudi) dan menghargai pendirian, serta usaha negara ini yang sentiasa menyokong rakyat Palestin untuk mendapatkan keadilan.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak. - Bernama

Artikel Berkaitan: