Hajiji sangkal dakwaan salah guna kuasa libat urus niaga tanah

Hajiji - Foto Bernama
Hajiji - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyangkal dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.

Dalam kenyataannya pada Isnin, beliau menegaskan bahawa semua urusan permohonan adalah melalui prosedur dan dilakukan mengikut lunas undang-undang.

"Semua permohonan telah melalui prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.

"Permohonan tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya bagi menjawab dakwaan itu yang kini tular di media sosial.

Katanya lagi, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh berhubung sebarang siasatan mengenai dakwaan itu.

"Siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit yang telah digunakan untuk membuat dakwaan itu," katanya.

Tambah Hajiji lagi, pihak berkuasa juga telah dimaklumkan mengenai akaun Facebook yang menyiarkan dakwaan itu yang dilihat mencemarkan nama baiknya.

"Tuduhan itu berniat buruk, bermotifkan politik dan bertujuan untuk memburukkan nama saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan berunding dengan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini," tegasnya.

Sementara itu, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan membuat laporan polis mengenai hantaran yang dibuat daripada akaun Facebook yang mendakwa berlakunya salah guna kuasa berhubung urus niaga tanah melibatkan kerajaan negeri dan seorang ahli perniagaan Sarawak.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, laporan polis itu dibuat supaya siasatan dapat dilakukan untuk membawa pihak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah ke muka pengadilan.

"Dakwaan itu dipenuhi dengan fakta rekaan. Semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menunjukkan semua permohonan tanah telah diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.

"Malah, tiada hak milik tanah dikeluarkan untuk empat permohonan tanah yang disebut dalam laman Facebook itu.

"Hantaran pada Facebook itu juga mendakwa ahli perniagaan terbabit dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Hajiji, jadi mesti ada sesuatu yang mencurigakan. Tetapi ahli perniagaan itu juga dilihat rapat dengan bekas Ketua Menteri daripada Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!