Shafie Apdal fail saman individu kait nama dengan perjanjian tanah Kudat

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memfailkan saman terhadap pihak atau individu yang mengaitkan namanya dengan isu perjanjian tanah di Pulau Balambangan, Kudat.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, perjanjian tanah di Kudat itu mencetuskan minat dan perbincangan awam yang meluas baru-baru ini.

"Walaupun saya bukan lagi ketua menteri, tetapi nama saya telah dikaitkan secara salah dalam perjanjian ini oleh pemimpin politik di Sabah.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya menafikan sebarang penglibatan atau salah laku dalam kes ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Semporna itu memaklumkan beliau telah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya telah mengambil tindakan undang-undang untuk menyangkal dakwaan tidak berasas ini.

"Saya telah melantik seorang peguam bagi memfailkan saman terhadap mereka yang telah mengaitkan nama saya dengan perjanjian tanah ini dan surat tuntutan telahpun disampaikan kepada individu tersebut," tegasnya.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mendakwa ahli perniagaan yang terlibat dalam perjanjian tanah yang ditularkan, baru-baru ini di media sosial bukan saja dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri ketika ini, Datuk Seri Hajiji Noor tetapi juga dilihat rapat dengan Mohd Shafie sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Hajiji dalam pada itu turut menyangkal dakwaan beliau menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat dan memaklumkan semua urusan permohonan adalah mengikut prosedur serta mengikut lunas undang-undang.