Sesi libat urus tentu masa depan UPSR, PT3 - Fadhlina

Perjumpaan dan perbincangan itu penting bagi menilai keputusan untuk mengembalikan dua peperiksaan itu atau sebaliknya.

Fadhlina (tiga dari kanan) merasmikan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di Kuala Selangor pada Khamis.
Fadhlina (tiga dari kanan) merasmikan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di Kuala Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum membuat sebarang keputusan konklusif mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perbincangan mengenai perkara itu sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, perjumpaan dan perbincangan itu penting bagi menilai keputusan untuk mengembalikan dua peperiksaan itu atau sebaliknya.

"Kita juga mengadakan sesi libat urus dan sesi ini penting berdasarkan kepada perkembangan pendidikan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini pada Khamis.

Fadhlina memberitahu, dua peperiksaan itu sentiasa ditimbulkan dalam sesi perbincangan menerusi sesi libat urus.

"Sebagai contoh, kita sudah selesai konvensyen pentaksiran dan baru selesai sesi libat urus untuk hala tuju tentang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Selain itu, kita baru selesai (Konvensyen) Pendidikan Islam dan beberapa lagi inisiatif yang akan kita segerakan dari segi jawatankuasa kritikal khusus untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025," jelas beliau.