Sultan Nazrin terima serahan zakat perniagaan RM16.8 juta

Shamsul (dua dari kiri) menyempurnakan serahan zakat perniagaan TNB berjumlah RM6.356 juta di hadapan Sultan Nazrin di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.
Shamsul (dua dari kiri) menyempurnakan serahan zakat perniagaan TNB berjumlah RM6.356 juta di hadapan Sultan Nazrin di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan oleh 11 syarikat korporat berjumlah RM16,861,352.52 kepada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan dekat Kuala Lumpur pada Isnin.

Penyerahan zakat perniagaan didahului oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM6.356 juta yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Kawal Selia & Pengurusan Stakeholder, Datuk Shamsul Ahmad.

Lembaga Tabung Haji pula menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM6,214,543.09 menerusi wakilnya, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman.

Turut menyerahkan zakat perniagaan adalah Etiqa Family Takaful Berhad & Etiqa General Takaful Berhad sebanyak RM1.06 juta diikuti Bank Rakyat berjumlah RM773,987 dan FGV Holdings Berhad berjumlah RM707,199.

Selain itu, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad & Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad turut menunaikan zakat perniagaan dengan jumlah RM500,000 manakala Maybank Islamic Berhad berjumlah RM437,597.51.

Dalam pada itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM249,428.19, Agrobank (RM241,303.47), Bank Mualamat Malaysia Berhad (RM221,294.26) dan Public Islamic Bank Berhad berjumlah RM100,000.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Mufti Negeri Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim; Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.

Artikel Berkaitan: