McDonald’s Malaysia tunai zakat perniagaan RM12 juta sejak 2017

Kongsi rasa kasih, tingkatkan pembangunan masyarakat

A
A
A

McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah RM100,000 kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam satu majlis yang diadakan pada Jun.
McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah RM100,000 kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam satu majlis yang diadakan pada Jun.

PETALING JAYA - Rangkaian restoran perkhidmatan segera, McDonald’s Malaysia telah menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan dalam Islam dengan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM12 juta sejak tahun 2017 kepada agensi-agensi pengurusan zakat yang diiktiraf oleh majlis agama di 14 buah negeri di seluruh Malaysia.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menekankan, sebagai sebuah syarikat yang dimiliki 100 peratus orang Islam, pihaknya bertanggungjawab menunaikan zakat perniagaan yang merupakan rukun keempat dalam Islam.

Berdasarkan kepada pegangan ini, McDonald’s Malaysia menunaikan zakat perniagaan setiap tahun, tanpa gagal.

Malah, bagi tahun 2023 jelas beliau, sebanyak RM2 juta zakat perniagaan bakal diserahkan McDonald’s Malaysia kepada agensi-agensi pengurusan zakat di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

McDonald’s Malaysia menyedari kepentingan menunaikan kewajipan zakat perniagaan untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
McDonald’s Malaysia menyedari kepentingan menunaikan kewajipan zakat perniagaan untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Katanya, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan milikan orang Islam dengan pegangan 100 peratus selepas pengambilalihan oleh Lionhorn Ptd. Ltd. iaitu anak syarikat di bawah Kumpulan Reza yang beroperasi di Arab Saudi pada tahun 2017.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki orang Islam, McDonald’s Malaysia menyedari kepentingan menunaikan kewajipan zakat untuk membantu masyarakat yang memerlukan. McDonald’s Malaysia sentiasa berusaha untuk menyumbang kepada komuniti di lokasi kami beroperasi.

“Maka, zakat perniagaan McDonald’s Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif McDonald’s Malaysia bagi menyumbang kembali kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan asnaf.

“Usaha ini bukan sahaja penting atas dasar tuntutan agama, tetapi hikmahnya adalah untuk kita berkongsi sedikit rezeki bagi meringankan beban mereka yang dalam memerlukan. Ini adalah nilai utama yang diterapkan oleh McDonald’s Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri itu.
McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri itu.

Tambah Azmir, McDonald’s Malaysia juga merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP pada tahun 2019 dan juga penerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun 2020.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut membuktikan sumbangan McDonald’s Malaysia terhadap masyarakat dihargai selain merupakan nilai tambah kepada Persijilan Halal yang dimiliki oleh syarikat itu.

Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan bahawa McDonald’s Malaysia yang ketika ini mengendalikan lebih 350 rangkaian restoran di seluruh negara akan terus menyantuni golongan asnaf dan komuniti setempat selaras dengan aspirasi serta teras syarikat yang sentiasa ke hadapan dalam membantu golongan yang memerlukan.