'Harga beras turun sudah' - Pengguna Sabah

Ab Alim (dua dari kiri) membuat tinjauan harga beras baharu yang berkuat kuasa pada Khamis di salah sebuah pasar raya di Kota Kinabalu. (Gambar kecil: Laina dan Mohamad Iskandar)
Ab Alim (dua dari kiri) membuat tinjauan harga beras baharu yang berkuat kuasa pada Khamis di salah sebuah pasar raya di Kota Kinabalu. (Gambar kecil: Laina dan Mohamad Iskandar)
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengurangan harga beras putih import (BPI) menerusi pemberian subsidi beras di Sabah dan Sarawak dapat mengurangkan bebanan rakyat terutama golongan B40 di kedua-dua negeri tersebut.

Hasil tinjauan di salah sebuah pasar raya mendapati pengguna mulai mendapatkan beras import bersubsidi dengan harga serendah RM28.50 mengikut jenama beras.

Penduduk Kampung Kinarut, Laina Teawa, 39, berkata, kenaikan harga beras sejak sebulan lalu amat membebankan mereka sekeluarga kerana berpendapatan rendah.

"Biasanya kami beli harga beras mencecah lebih RM30 bagi 10 kilogram tetapi hari ini harga mulai turun sehingga RM28.50, jadi berbaloi untuk kami yang mempunyai ahli keluarga yang besar.

"Di rumah kami sekeluarga saja sudah terdapat 13 orang. Jadi penggunaan beras memang banyak iaitu 10 kilogram hanya bertahan kurang dari seminggu dan kalau harga melambung tinggi seperti yang berlaku baru-baru ini, makanan terpaksa berjimat," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini pada Khamis.

Tambah Laina lagi, dengan harga beras yang lebih murah itu membolehkan dia dapat membeli barang keperluan lain seperti minyak dan gula.

Seorang lagi pelanggan, Mohamad Iskandar Abdul Kamal, 55, berharap langkah kerajaan memberi subsidi terhadap beras import di Sabah diteruskan bagi mengurangkan bebanan rakyat di negeri ini.

"Alhamdulillah, hari ini harga beras turun sudah boleh didapati di pasaran. Terima kasih kerajaan yang memberi subsidi dan diharap ia berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini memang harga beras begitu tinggi dan agak membebankan termasuk peniaga kecil dan juga pengguna," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawal Selia Padi Dan Beras Sabah, Ab Alim Multazam yang turut hadir membuat tinjauan di beberapa pasar raya sekitar Kota Kinabalu meminta pengguna tidak membuat pembelian panik terhadap BPI.

"Hasil pemantauan, kita dapati adanya pembelian panik berlaku di mana pelanggan membeli antara tiga hingga lima kampit beras.

"Jadi kita nasihatkan supaya jangan berlaku pembelian panik kerana beras bersubsidi ini akan masuk di pasaran. Belilah dalam keadaan biasa, satu atau dua kampit cukup untuk kegunaan biasa," katanya.

Diminta mengulas lanjut tindakan peniaga mengehadkan penjualan kepada dua kampit beras, beliau memaklumkan untuk sementara waktu ini ia dibolehkan bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan beras.

"Peniaga boleh hadkan pembelian untuk sementara waktu iaitu dua kampit bagi setiap keluarga. Ini untuk kita nak mengelakkan gangguan bekalan itu.

"Dari segi undang-undang tidak ada masalah. Saya cuma nasihatkan pengguna jangan panik kerana bekalan memang ada dengan harga subsidi yang diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.

Kerajaan Isnin lalu mengumumkan harga BPI di Sabah dan Sarawak dikurangkan sehingga RM31 bagi setiap 10 kilogram menerusi salah satu langkah intervensi drastik berhubung isu harga beras di negara ini.