Menanti lapangan terbang baharu di Perak

Perak memerlukan sebuah terminal udara yang dapat menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat serta menyediakan kemudahan pengangkutan kargo yang lebih baik.
Perak memerlukan sebuah terminal udara yang dapat menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat serta menyediakan kemudahan pengangkutan kargo yang lebih baik.
A
A
A

MEMBINA sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa merupakan salah satu cita-cita kerajaan Perak dalam usaha membangunkan ekonomi negeri.

Kementerian Pengangkutan sudah menerima cadangan kerajaan negeri itu pada tahun 2017 bagi membina lapangan terbang berkonsepkan zon perdagangan bebas, hab pengangkutan, terminal kargo bersepadu, pintu masuk antarabangsa dan zon pembangunan ekonomi, pendidikan dan perumahan.

Berdasarkan Hala Tuju Pembangunan Negeri Perak 2040, pembinaan lapangan terbang baharu menggantikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh tepat pada waktunya kerana negeri Perak memerlukan sebuah terminal udara yang dapat menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat serta menyediakan kemudahan pengangkutan kargo yang lebih baik.

Menurut laporan itu, lokasinya perlulah dekat dengan Ipoh sebagai pusat pelbagai aktiviti dan kawasan pelancongan utama negeri.

Selain itu, tumpuan kawasan perindustrian di sekitar Ipoh memerlukan satu terminal pengeksportan dan pengimportan bahan mentah serta barangan terhasil.

Landasan LTSAS sepanjang dua kilometer itu hanya membolehkan pesawat tertentu mendarat dan naik taraf kawasan pula terhad kerana dikelilingi perumahan penduduk.

Buat masa ini, LTSAS menyediakan penerbangan antarabangsa Singapura ke Ipoh selain penerbangan domestik ke Johor Bharu.

Hubungan dua hala antara pembinaan lapangan terbang dan pembangunan ekonomi saling signifikan.

Sebagai contoh, hab penerbangan Changi dan industri berkaitan menyokong hampir 200,000 pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi negara itu dan membentuk lebih daripada lima peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura sebelum pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2013, lapangan terbang Eropah menjadi pemangkin pekerjaan dan pendapatan 1.23 juta orang, mewujudkan GDP 675 bilion Euro yang merupakan 4.1 peratus daripada EU GDP.

Justeru, lapangan terbang menjadi kunci yang mendorong pertumbuhan ekonomi negara dan negeri. Berdasarkan perspektif itu, lapangan terbang merupakan penanda aras pembangunan ekonomi dan enjin untuk mempromosikannya.

Keperluan memiliki sebuah lapangan terbang selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad Jun tahun lalu yang meletakkan Sejahtera Ekonomi sebagai salah satu sasaran selain Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.

Impak memiliki lapangan terbang ini bukan sahaja memberi penambahan pendapatan buat penduduk setempat malah meningkatkan perolehan cukai perusahaan dan individu kepada kerajaan Persekutuan dan tempatan.

Bagi melancarkan pembangunan negeri, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan cadangan projek pembinaan lapangan terbang seluas 1,618.4 hektar berhampiran Felcra Nasaruddin, Seri Iskandar, Julai lalu.

Kajian dijalankan sebuah syarikat kejuruteraan infrastruktur antarabangsa yang berpusat di United Kingdom (UK), Colebrand International Limited.

Pembinaan itu memberi bayangan kemodenan ekonomi Koridor Tengah yang memfokuskan bidang komersial, industri, institusi awam dan swasta serta industri maritim.

Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu dijangka memakan masa lebih lima tahun untuk dilaksanakan yang melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan proses kajian lapangan selama enam bulan, sebelum diteruskan kepada fasa kedua mencakupi proses pembinaan.

Tempoh itu dilihat boleh direalisasikan melihatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing, China berjaya dibina dengan kos AS$11 bilion sekali gus menjadikan Beijing antara kota utama dunia yang mempunyai dua lapangan terbang antarabangsa bagi perjalanan jarak jauh.

Mengambil iktibar isu penjualan tanah lapangan terbang tahun lalu, jangan dibiarkan lagi rakyat Perak kempunan untuk mendapat lapangan terbang baharu.

*Noor Ainon Mohamed Yusof adalah wartawan Sinar Harian Perak