Terengganu rancang jadikan Lapangan Terbang Kertih hub MRO pesawat ringan

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu merancang untuk menjadikan Lapangan Terbang Kertih sebagai hub subsektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat ringan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan terus terbuka meneroka potensi baharu dalam usaha untuk memanfaatkan penggunaan serta pembangunan di Lapangan Terbang Kertih.

"Kita ada banyak masa sehingga Mac 2026. Antara ruang lain yang boleh diterokai masih lagi dalam pertimbangan kerajaan ialah berbincang dan mempelawa industri sokongan sebagai mini hub aeroangkasa.

"Keduanya menjadikan hub MRO untuk pesawat yang menggunakan kipas dan helikopter. Ini kerana MRO untuk pesawat besar memerlukan landasan yang lebih panjang.

"Apa-apa pun kerajaan negeri akan terus berusaha sehingga sampai tempoh ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) mengenai perancangan Terengganu terhadap pengoperasian dan pembangunan Lapangan Terbang Kerteh setelah ia diserah kembali kepada kerajaan negeri oleh Petronas nanti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, tarikh penyerahan Lapangan Terbang Kertih yang dipersetujui bersama antara kerajaan negeri dan Petronas adalah sehingga 31 Mac 2026.

Beliau menambah, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju menerima secara dasar cadangan penyerahan keseluruhan aset yang merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di Lapangan Terbang Kertih oleh Petronas kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengekalkan Tapak Lapangan Terbang Kertih untuk aktiviti berkaitan penerbangan.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Lapangan Terbang Kertih yang bertanggungjawab menyelaras dan memantau proses penyerahan Lapangan Terbang Kertih serta menilai 'business model' cadangan pengurusan Lapangan Terbang Kertih sebagai persediaan menerima penyerahan lapangan terbang berkenaan.

"Jadi kerajaan negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) untuk meneroka potensi serta merangka pelan pengoperasian Lapangan Terbang Kertih setelah penyerahan oleh Petronas," ujarnya.

Ahmad Samsuri berkata, hasil kajian oleh Terengganu Inc yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Lapangan Terbang Kertih mendapati bahawa lapangan terbang tersebut tidak mempunyai potensi yang cukup baik bagi kerajaan negeri meneruskan operasi sebagai lapangan terbang dan aktiviti berkaitan penerbangan.

"Jawatankuasa memutuskan agar Terengganu Inc meneruskan kajian lanjut untuk meneroka potensi dan bidang lain bagi pembangunan seterusnya tapak Lapangan Terbang Kertih," jelasnya.