Parlimen ASEAN bincang isu jaminan makanan, iklim, tenaga baharu

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara Parlimen ASEAN khususnya isu keterjaminan makanan, perubahan iklim dan tenaga boleh baharu merupakan antara intipati perbincangan mesyuarat dua hala antara Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPRRI), Maharani Nakshatra Kusyala Devi dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ia antara langkah berterusan dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala antara parlimen-parlimen ASEAN.

Kedua-dua pemimpin telah membincangkan peningkatan usaha pelaburan rentas sempadan, pertukaran teknologi antara dua negara dalam kecerdasan buatan serta pertanian, pertukaran mahasiswa juga isu kebajikan tenaga kerja Indonesia di Malaysia.

Menurut Johari, perkara tersebut memerlukan usaha langsung dalam memastikan pelan tindakan bagi menyelesaikan pelbagai isu serantau boleh dilaksanakan.

“Isu meruncing termasuk perubahan iklim, peralihan tenaga dan keterjaminan makanan merupakan cabaran yang sama dikongsi oleh negara-negara Asia Tenggara.

“Parlimen Malaysia bertekad untuk meningkatkan inisiatif dalam menangani isu ini secara langsung, memandangkan ia memerlukan penggemblengan tenaga, perhatian, tindakan yang pantas dan tegas oleh parlimen ASEAN.

“Usaha berterusan ini dapat dijalankan melalui pertukaran amalan baik berkaitan penggubalan undang-undang dan penelitian ke atas belanjawan serta tindakan kerajaan terhadap pelbagai isu berkepentingan,” katanya pada Isnin.

Pada 4 Ogos lalu, Johari telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Umum Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-44 (AIPA General Assembly) di Jakarta yang bertemakan ‘Parlimen Responsif untuk ASEAN yang Stabil dan Makmur’.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat tersebut mengumpulkan delegasi daripada sembilan parlimen Asia Tenggara telah membincangkan peranan parlimen agar lebih anjal dalam bersikap responsif menghadapi pelbagai krisis menerusi prinsip kesatuan dan pemusatan serantau.

AIPA mengetengahkan sumbangan parlimen yang semakin diperlukan daripada semua parlimen ASEAN dalam memperluaskan kerjasama, mewujudkan perdamaian dan membuka ruang dialog untuk memacu manfaat sosioekonomi serta perdamaian antara negara anggota.