Akta perubahan iklim kawal selia NRECC, agensi berkaitan

Nik Nazmi pada program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Auditorium Sinar Harian, pada Isnin. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Nik Nazmi pada program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Auditorium Sinar Harian, pada Isnin. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan ketika ini memberi keutamaan terhadap akta perubahan iklim bagi mengawal selia Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta agensi berkaitan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, akta tersebut penting dalam memastikan komitmen NRECC dan agensi berkaitan dapat mengikut sasaran yang ditetapkan.

“Akta perubahan iklim ini akan membolehkan komitmen NRECC dan sebagainya, bagaimana kita dapat samakan, kawal selia dan dapat pastikan agensi kerajaan semua mengikut sasaran tersebut.

“Sebab selama ini kita ada (akta seperti itu), tetapi tanpa ada akta perubahan iklim atau satu suruhanjaya yang dapat memastikan ada kebertanggungjawaban tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Nik Nazmi menjadi tetamu kelima dalam program yang dihoskan Azhar Sulaiman.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pendirian kerajaan untuk menandatangani perjanjian iklim yang dicapai pada persidangan COP26, ujar Nik Nazmi, ada beberapa perkara lagi perlu diteliti oleh kerajaan berhubung perjanjian tersebut.

“Tentang soal komitmen pada COP26 itu, saya rasa ada beberapa maklumat perlu kita teliti sebelum kerajaan memberi komitmen kepada perkara tersebut yang melibatkan penebangan hutan,” jelasnya.