Jerebu: Sekolah digesa patuh garis panduan KPM

Fadhlina menyampaikan hadiah kepada johan tilawah al-Quran Sekolah Menengah kategori perempuan, Ulya Ahmad Sayuti sempena Majlis Perasmian Penutup Mahrajan al-Quran Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Kebangsaan 2023 di Unipsas di sini pada Isnin.
Fadhlina menyampaikan hadiah kepada johan tilawah al-Quran Sekolah Menengah kategori perempuan, Ulya Ahmad Sayuti sempena Majlis Perasmian Penutup Mahrajan al-Quran Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Kebangsaan 2023 di Unipsas di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta agar sentiasa mengikuti garis panduan ditetapkan bagi menghadapi fenomena cuaca berjerebu yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM sudah ada garis panduan dan ia kekal terpakai dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada kepada semua sekolah.

Menurutnya, semua sekolah diminta mematuhinya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Misalnya bila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di sesuatu kawasan itu melebihi 100, aktiviti luar perlu dibatalkan.

"Sekiranya fenomena jerebu itu serius, langkah penutupan sementara sekolah akan dilakukan sekiranya perlu atas nasihat serta pandangan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas), di sini pada Isnin.

Fadhlina berkata, pihaknya akan merujuk kepada KKM dari semasa ke semasa sebelum mengambil langkah menutup sekolah atau mengeluarkan arahan memakai penutup muka sekiranya jerebu semakin buruk dan berlanjutan.

Beberapa kawasan di semenanjung merekodkan IPU kategori tidak sihat melebihi 101 dan meningkat kepada 15 kawasan sehingga jam 8 pagi pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU paling tinggi setakat pagi ini iaitu 164.

Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat di Nilai (163), Seremban (158), Shah Alam (158), Putrajaya, Petaling Jaya dan Banting (157), Port Dickson (156) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (154).

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, isu kekurangan guru seperti yang didedahkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hanya bersifat sementara.

Menurutnya, pihak kementerian telah selesai mengadakan temuduga bagi pengambilan guru secara 'one off '.

"Kita kini dalam proses pengambilan guru secara kontrak jadi isu ini seperti yang saya kata ia hanya sementara.

"Pihak kementerian sentiasa mencari jalan dan mengambil langkah bagi menangani isu kekurangan guru itu," katanya.