Janji parti lawan tidak boleh pakai - Khaled Nordin

Mohamed Khaled beramah mesra dengan pengunjung di dataran Pelangai di Kuantan pada Ahad.
Mohamed Khaled beramah mesra dengan pengunjung di dataran Pelangai di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diminta tidak terpengaruh dengan janji yang ditaburkan parti lawan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) di kawasan ini, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden UMNO itu berkata, pihak lawan tidak mampu untuk menunaikan janji kerana mereka bukan kerajaan.

"Apa pun yang diperkatakan oleh pembangkang, mereka tidak mungkin dan memang tidak boleh tunaikan kerana mereka bukan kerajaan.

"Janji ke apa memang tidak boleh pakai, sebab mereka tidak boleh laksana. Jadi sebab itulah saya percaya masyarakat dan pengundi dalam kawasan ini bijak untuk memilih wakil rakyat yang benar berkesan serta dapat membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di dataran Pelangai di sini pada Ahad.

Menteri Pendidikan Tinggi itu memaklumkan kehadirannya ke Pelangai bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang bertanding dalam PRK kali ini.

Jelasnya, sambutan masyarakat dan pengundi di DUN ini sangat memuaskan dan percaya pengundi bijak memilih siapa yang sewajarnya menjadi wakil rakyat mereka.

"Kita sedia maklum bahawa PRK ini bukan isu bukan bentuk kerajaan tapi untuk memilih wakil yang mana boleh menjadi jambatan daripada penduduk kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Maka sudah sewajarnya penduduk bijak untuk pilih wakil rakyat yang benar berkesan, mempunyai hubungan dengan pihak kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri, " ujarnya.