PRK Pelangai: Pihak lawan tak mampu lawan prestasi BN - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tiga dari kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Sentuhan Kasih Desa Pelangai di Dataran Simpang Pelangai pada Sabtu.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Sentuhan Kasih Desa Pelangai di Dataran Simpang Pelangai pada Sabtu.
A
A
A

BENTONG - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diingatkan agar tidak mempercayai sentimen atau persepsi yang dicipta pihak lawan sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya beliau mahu rakyat melihat prestasi dan fakta sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah lama menjaga kepentingan dan kebajikan dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat secara keseluruhan.

"Mereka (pihak lawan) mencipta sentimen atau persepsi ataupun mereka mencipta fitnah kerana mereka tidak boleh berlawan dengan prestasi.

"Prestasi kita dari segi kutipan hasil, bantuan prihatin kepada rakyat mereka tidak boleh melawan kita. Kutipan hasil kita hampir RM950 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sentuhan kasih desa Pelangai mini ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Keusahawan Desa di Dataran Simpang Pelangai di sini pada Sabtu.

Wan Rosdy memberitahu pelbagai inisiatif yang diberikan kepada rakyat seperti memberikan bantuan kepada jemaah haji.

"Tahun ini kita beri bantuan sebanyak RM500 kepada jemaah haji, malah kita telah bersetuju untuk naikan kepada RM750 tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam bidang pendidikan, kita ada Universiti Islam di Pahang (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) dan menghantar pelajar untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir," katanya.