150 ahli Bersatu Hang Tuah Jaya keluar parti, sokong BN

Sebahagian 150 ahli Bersatu mengumumkan keluar parti.
Sebahagian 150 ahli Bersatu mengumumkan keluar parti.
A
A
A

HANG TUAH JAYA – Seramai 150 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hang Tuah Jaya mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Bekas Timbalan Ketua Bahagiannya, Md Firdaus Mashor berkata, langkah itu dibuat atas pertimbangan bahawa rakyat memerlukan kestabilan politik, kepimpinan matang serta pentadbiran yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.

Beliau berkata, penghijrahan itu turut membabitkan ahli jawatankuasa bahagian bersama ahli beberapa cawangan termasuk Padang Jambu, Batu Hampar, Pasir Puteh, Paya Dalam, Bukit Baru Dalam dan Kandang.

"Kesemua yang terlibat merupakan pengundi dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dan Ayer Molek," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Hasnoor Sidang Hussin dan calon PN bagi DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.

Muhammad Ridzuan (kiri) menyambut baik hasrat bekas ahli Bersatu yang diketuai Md Firdaus (kanan) menyokong Muafakat Melaka.
Muhammad Ridzuan (kiri) menyambut baik hasrat bekas ahli Bersatu yang diketuai Md Firdaus (kanan) menyokong Muafakat Melaka.

Md Firdaus yang juga bekas Setiausaha Penerangan Bersatu Melaka berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai wadah lebih sesuai untuk mereka meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu turut didorong gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sebagai pendekatan inklusif bagi menyatukan semula orang Melayu dan umat Islam yang pernah berbeza haluan politik.

"Perbezaan parti pada masa lalu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membina kesepakatan pada hari ini.

"Penghijrahan ini bukan tentang permusuhan, tetapi memilih hala tuju perjuangan yang diyakini lebih sesuai untuk masa hadapan," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Md Firdaus turut berhasrat memberikan undi dan sokongan kepada calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Pendirian ini dibuat atas keyakinan terhadap keperluan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kepimpinan yang dekat dengan rakyat.

"Dengan semangat muafakat dan keterbukaan, kami bertekad untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat, memperkukuhkan kestqbilan politik dan memastikan suara akar umbi sentiasa diberikan perhatian," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!