Pas Pahang minta pihak berkuasa lebih profesional

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi
A
A
A

BENTONG - Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan keselamatan yang lebih profesional sepanjang proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dijalankan.

Menurutnya, memang terdapat aduan daripada sesetengah jentera parti yang kurang selesa selepas proses penamaan calon khususnya di kawasan-kawasan Felda.

"Sebenarnya ia berbeza dengan menjaga keselamatan dan mengganggu pergerakan..keselamatan tak perlu ikut kita dari dekat.. ini mereka ikut ketika proses merayu undi rumah ke rumah hingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan ahli.

"Ia juga menyebabkan pengundi takut mendekati jentera kita kerana polis ramai ikut kita..tidak sepatutnya pegawai polis ambil tindakan sedemikian, sepatutnya hanya jaga keselamatan, konsep keselamatan ia luas tak perlu ikut jentera sahaja melainkan ada laporan dan sebagainya, " ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching.

Beliau berkata sedemikian susulan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan parti itu pada PRK DUN Pelangai menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.

Ujar beliau, gangguan itu bukan berlaku secara menyeluruh pada semua jentera tapi ada sebahagian jentera diikuti pihak keselamatan namun sedikit sebanyak ia didakwa mengganggu proses kempen parti tersebut.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak polis berlaku adil kepada mana- mana pihak yang bertanding sepanjang kempen dijalankan.

"Seboleh-bolehnya pihak polis tak perlu ikut mana-mana pergerakan jentera parti melainkan ada laporan.. ada tempat dilihat kawasan-kawasan panas.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kalau tempat contohnya di kawasan Felda, contohnya dia tak perlu kerana ia kawasan aman, damai..kita pun bukan mengajak untuk pergaduhan dan sebagainya..kita berkempen dengan cara yang baik, tiada isu pihak polis ganggu atas alasan keselamatan..dan DUN Pelangai adalah kawasan yang aman, damai," tegas beliau.

Sementara itu, calon PN, Kasim Samat secara peribadi memberitahu kehadiran banyak pihak polis tidak memberikan tekanan buatnya namun mengakui ada menerima aduan daripada jentera parti.

"Untuk peribadi, saya di pihak calon tiada gangguan, dan mereka pun mesra..bersalaman dengan saya.

"Saya bersangka baik, mereka (polis) tak akan buat (ganggu) saya, ini kawasan saya, tempat sendiri, mereka semua kawan saya," tambah beliau.