Isu Felcra Berhad, Bung lebih banyak menjawab kepada PAC - Tajuddin

Tajuddin (tengah) dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Tajuddin (tengah) dalam sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Bekas Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan dirinya tidak terlibat dalam isu kedudukan kewangan Felcra yang kini dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata, perkara berkenaan termasuk wujudnya tunggakan hutang kepada kerajaan Persekutuan berlaku bukan dalam tempoh penjawatannya sebagai pengerusi.

"Saya dipanggil PAC sebelum ini untuk beri keterangan kerana saya juga pernah menjadi Pengerusi Felcra.

"Tetapi dalam hal itu (siasatan), Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin) yang banyak beri jawapan kepada PAC...begitu dan begini, saya tak campur," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan beras anjuran Pasir Salak Bangkit kepada 500 keluarga di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai dekat sini pada Sabtu.

Tajuddin berkata, dalam sesi memberi keterangan kepada PAC pada 18 September lalu, beliau ditanya mengenai projek pembangunan hartanah bercampur di atas tanah milik Felcra Berhad di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dimulakan pada 2018.

Tajuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan beras anjuran Pasir Salak Bangkit kepada 500 keluarga di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai pada Sabtu.
Tajuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan beras anjuran Pasir Salak Bangkit kepada 500 keluarga di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai pada Sabtu.

Katanya, cadangan dan idea projek itu memang dibuat dalam tempoh beliau menjadi pengerusi, namun pelaksanaannya diluluskan semasa Bung Moktar mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Felcra Berhad.

"Saya sedia beri kerjasama sekiranya PAC mahu memanggil semula beri keterangan, bila-bila masa sahaja kerana pokok pangkalnya, projek itu tidak dimulakan semasa saya pengerusi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu dilantik sebagai Pengerusi Felcra Berhad pada 2008 hingga 2013, jawatan tersebut kemudiannya diambil alih Bung Moktar.

PAC telah memanggil dua bekas Pengerusi Felcra Berhad itu bagi memberi penjelasan dan keterangan berhubung isu Felcra Berhad yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2: Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Semakan audit Jabatan Audit mendapati Felcra mempunyai tunggakan hutang yang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada tahun 2021 berbanding RM82 juta pada tahun 2020.