Syarikat pembekal diesel didenda RM45,000

IPOH - Sebuah syarikat pembekal diesel didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas kesalahan menjual diesel kepada pembeli yang tidak mempunyai permit sah tiga tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Tan Chia Shern, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Chia Shern sebagai pengarah syarikat didakwa menjual diesel sebanyak 16,380 liter kepada sebuah syarikat yang mana pembeli berkenaan tidak mempunyai permit atau kelulusan bertulis yang sah oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan di premis GCCP Marble Sdn Bhd di Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 15 Ogos 2023.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, N Shamani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS serta amaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.
OKS yang diwakili Peguam, Robin Lim Fang Say memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang rendah mengambil kira pengakuan bersalah dibuat telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Ringkasan AI
- Sebuah syarikat pembekal diesel didenda RM45,000 kerana menjual diesel tanpa permit sah
- Tan Chia Shern, pengarah syarikat, mengaku bersalah
- Didakwa menjual 16,380 liter diesel kepada pembeli tanpa permit sah
- Kesalahan dilakukan di premis GCCP Marble Sdn Bhd, Ipoh pada 15 Ogos 2023
- Dihukum di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh membawa denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

