'Doakan Malaysia dapat lebih banyak pingat' - Norza

Norza - Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
Norza - Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
A
A
A

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria optimis Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022 mampu mencapai sasaran 27 pingat menjelang temasya tersebut yang bakal menutup tirai pada 8 Oktober ini.

Malah beliau turut yakin para atlet mampu melepasi sasaran tersebut kerana kontinjen negara berada pada landasan terbaik untuk meraih lebih banyak kejayaan.

Justeru beliau memohon kepada rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan para atlet di Hangzhou sekali gus membanggakan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya percaya bahawa kita berada di landasan yang sangat tepat untuk mencapai sasaran 27 pingat secara keseluruhan. Sebagai presiden MOM, saya optimis dengan prestasi atlet pada ketika ini.

“Malah saya yakin bukan sahaja 27 pingat, mungkin lebih dan saya mahu semua rakyat Malaysia berdoa supaya kita bukan sahaja capai sasaran, tetapi dapat lebih banyak emas,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Netball Super League (NSL) 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Kontinjen Malaysia pada Isnin sudah memungut tiga emas, empat perak dan 13 gangsa untuk mengumpul jumlah keseluruhan 20 pingat dengan berbaki tujuh pingat untuk mencapai sasaran 27 pingat.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengucapkan tahniah kepada atlet yang telah memenangi pingat dan berharap mereka yang masih berjuang untuk mempunyai semangat yang sama atau lebih bagi memacu pingat buat negara.

Dalam perkembangan berkaitan beliau juga percaya para pemain badminton sudah melupakan kekecewaan tersingkir awal setelah tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam acara berpasukan lelaki.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau berkata, acara individu sudah memulakan persaingan pada Isnin dan beberapa pemain sudah melakar keputusan positif.

Beliau berkata, para pemain menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk memungut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris tahun depan kerana Sukan Asia setanding dengan Kejohanan Dunia yang disertai mereka yang berada pada tahap tertinggi dunia.

“Ini merupakan cabaran yang sangat baik dan bagi saya ia menjadi landasan untuk kita menilai bagaimana (persiapan dan prestasi) mereka bagi menghadapi Sukan Olimpik nanti.

“Sukan Asia ada mata Olimpik kerana temasya ini adalah sama dengan Grand Slam berstatus 1000 seperti Seluruh England, Terbuka Malaysia, Indonesia dan China.

“Ini merupakan satu platform fast track untuk kelayakan ke Olimpik dan saya yakin mereka akan melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh,” ujar Norza.