Thailand cadang lebih banyak pusat pemeriksaan sempadan Malaysia

Gambar hiasan - Foto Awani
Gambar hiasan - Foto Awani
A
A
A

BANGKOK - Thailand telah mencadangkan untuk mewujudkan lebih banyak pusat pemeriksaan sempadan di sepanjang perbatasannya dengan Malaysia dalam usaha untuk memacu perdagangan rentas sempadan, pembangunan dan peningkatan hubungan serta interaksi antara individu.

Cadangan itu dibuat semasa pertemuan baru-baru ini antara Speaker Dewan Rakyat Thailand, Wan Muhamad Noor Matha dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel ketika kedua-duanya membincangkan cara untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala.

Wan Muhamad Noor mengusulkan pembukaan pusat pemeriksaan sempadan baharu di daerah Kabang di Wilayah Yala, yang akan menghubungkan ke negeri Kedah di utara Malaysia.

"Pusat pemeriksaan sempadan baharu dengan Malaysia mengukuhkan hubungan rapat kami dan meningkatkan perdagangan sempadan.

"Saya akan menggesa kerajaan untuk melaksanakan projek ini," menurutnya dalam satu kenyataan.

Wan Muhamad Noor juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menjaga pelajar Thailand dan rakyat Thai yang bekerja di Malaysia.

Beliau juga menantikan lawatan rasmi perdana menteri Thailand yang baharu ke Malaysia dalam masa terdekat.

Kedua-dua Perdana Menteri akan berpeluang bertemu dan meneruskan perbincangan mereka daripada pertemuan mereka baru-baru ini di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan itu, Jojie turut memaklumkan Wan Muhamad Noor mengenai pelbagai projek di sepanjang sempadan yang telah dipersetujui seperti jambatan Persahabatan kedua antara Rantau Panjang- Sungei Kolok, dan penjajaran semula jalan yang menghubungkan Sadao dan Bukit Kayu Hitam.

Beliau turut mengulas bahawa sambungan laut menggunakan feri antara Jeti Tammalang di Satun dan Langkawi perlu dimajukan lagi.

"Thailand dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik antara satu sama lain dari segi politik, ekonomi dan sosiobudaya.

"Kedua-dua negara secara aktif bekerjasama untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan terutamanya di kawasan perbatasan yang menyumbang hampir 40 peratus dari jumlah perdagangan dua hala pada tahun 2022,” katanya.

Jojie juga menyatakan harapan agar Wan Muhamad Noor dapat melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat. - Bernama