KPWKM sasar tubuh lebih banyak PAWE depani negara menua

Aiman Athirah (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Sukarelawan Warga Emas kepada Yong Soo Len, 72, (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada Ahad. - Foto: Bernama
Aiman Athirah (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Sukarelawan Warga Emas kepada Yong Soo Len, 72, (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara berdasarkan kepada populasi warga emas di suatu kawasan, sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2030.

Timbalan Menterinyam, Aiman Athirah Sabu berkata, dengan pertambahan PAWE, golongan warga emas dapat terus menjalankan aktiviti dalam komuniti sekali gus melahirkan warga emas yang sihat, aktif, produktif dan positif.

"Secara tidak langsung penubuhan lebih banyak PAWE ini dapat mengurangkan kemasukan dan kebergantungan warga emas kepada institusi kebajikan," katanya berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru pada Ahad.

Sambutan bertemakan ‘Memartabatkan Hak Warga Emas: Merentas Generasi’ itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi PerakSalbiah Mohamed.

Aiman Athirah berkata, KPWKM juga sedang berusaha memperluaskan kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada warga emas.

Beliau berkata, tanggungjawab sosial korporat merupakan satu daripada kerjasama

KPWKM dengan rakan strategik seperti agensi kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dalam memelihara kebajikan kumpulan sasar selaras dengan konsep 'Kebajikan Tanggungjawab Bersama'.

Menurutnya, hala tuju baharu perkhidmatan warga emas yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 seperti pewujudan Pangkalan Data Berpusat Warga Emas (eWE) dan pemerkasaan PAWE, diharap dapat memberi impak nyata terhadap kesejahteraan warga emas di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, katanya, Pelan Tindakan Warga Emas perlu dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kesinambungan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang mampan.

"Ia merupakan komitmen kerajaan ke arah mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong peningkatan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara," katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Sukarelawan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cemerlang, Yong Soo Len, 72, berkata, beliau aktif dalam aktiviti kesukarelawanan sejak 30 tahun lepas.

Soo Len yang berasal dari Sungai Tinggi, Selangor merupakan pesara guru yang masih bergiat aktif sebagai sukarelawan khidmat bantu di rumah dan Pegawai Penilai dan Verifikasi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Kerja Sosial.

Ibu kepada tiga anak yang kesemuanya bekerja di Singapura itu, merupakan Ahli Jawatankuasa PAWE Labis dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teratak Sayangku, Chaah di Segamat, Johor.

Beliau menerima wang tunai berjumlah RM1,000, trofi serta sijil penghargaan.

Tokoh korporat dari Pulau Pinang, Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff menerima Anugerah Khas Warga Emas dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi dan sijil penghargaan.

PAWE Rembau, Negeri Sembilan pula menerima Anugerah Pusat Aktiviti Warga Emas Cemerlang sekali gus meraih wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. - Bernama