Penganggur didakwa bunuh teman wanita

Chee Seong dibawa ke Mahkamah Majistret Yong Peng Batu Pahat pada Selasa.
Chee Seong dibawa ke Mahkamah Majistret Yong Peng Batu Pahat pada Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pengganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng pada Selasa atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang juga pekerja salon pada bulan lalu.

Tertuduh, Lim Chee Seong, 44, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass namun tiada pengakuan direkodkan.

Chee Seong didakwa membunuh Lim Bee Lan, 41, di sebuah rumah di Taman Damai 11 di sini antara jam 10 malam hingga 11 pagi, 26 dan 27 Januari lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Firdaus memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes memandangkan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan laporan perubatan tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 27 April ini.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 41 tahun ditemukan meninggal dunia selepas disyaki dibunuh tertuduh yang juga teman lelakinya.

Kejadian itu terbongkar selepas polis dengan bantuan bomba memecah pintu sebuah rumah teres dua tingkat sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak sedemikian kerana cemburu terhadap mangsa tahun kerana mengesyaki wanita itu ada lelaki lain.

Suspek juga ditemukan dalam keadaan kritikal cuba membunuh diri dengan mengelar leher dan pergelangan tangan kiri menggunakan senjata tajam.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!