Jurutera JKR diminta laksana kerja ikut spesifikasi - Shahelmey

Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Smart Jawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Besar Maktab Sabah, di sini pada Sabtu.
Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Smart Jawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Besar Maktab Sabah, di sini pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat daerah diminta supaya tidak membazirkan wang kerajaan ketika melakukan kerja-kerja menaik taraf atau pembaikan jalan raya di negeri ini.

Teguran itu dibuat oleh Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya selepas tular isu keadaan jalan raya kembali rosak selepas kerja pelebaran dilakukan di Jalan Gum-Gum, Sandakan baru-baru ini.

"Ini berhubung dengan berita yang tular di media sosial berkenaan dengan pelebaran bulatan di Gum-Gum tersebut dan kita dapati bahawa ia dilakukan dengan kurang baik, tanah yang becak ditimbus dan diturap tanpa dibuat pemeriksaan yang teliti.

"Apabila satu kenderaan berat datang melaluinya, maka jalan itu rosak dan kita telah mengarahkan konsesi untuk membuat pembaikan semula dalam tahun ini juga.

"Jadi teguran saya kepada jurutera daerah kadang-kadang disebabkan oleh kekangan kewangan mereka mengurangkan skop kerja tetapi dalam masa sama kena fikir sama ada kerja itu masih boleh menepati spesifikasi ditetapkan atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Smart Jawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Besar Maktab Sabah, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi menegur pihak JKR yang bertanggungjawab memantau konsesi yang melaksanakan kerja-kerja pembaikan atau menaik taraf jalan di negeri ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, walaupun pihak JKR mencari alternatif lain disebabkan kekangan kewangan tetapi mereka perlu memastikan kualiti kerja daripada pihak konsesi memuaskan dan keadaan jalan boleh bertahan lama.

"Jangan disebabkan atas alasan had kewangan kurang maka kita buat pilihan B tetapi pilihan itu tidak berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita pilih pilihan B, sepatutnya juga berdaya tahan. Jangan melakukan sesuatu yang membazirkan duit kerajaan dan kita minta semua yang terlibat melakukan pemantauan yang ketat sebelum meluluskan apa-apa juga hasil kerja yang dilakukan," tegasnya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan jalan berkenaan kembali rosak selepas kira-kira tiga minggu berlalunya Kembara Kenali Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah.

Sebahagian jalan raya kini kembali seperti 'jalan ke bulan' apabila beberapa gambar keadaan jalan raya rosak dikongsikan pengguna di media sosial.