Perunding tidak mengaku tipu tuntutan dana MITRA

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang perunding perniagaan yang muflis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 15 pertuduhan menipu berhubung tuntutan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM331,047.40 tiga tahun lalu.

P Anbalahgan, 61, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-15, lelaki itu didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan MITRA, R Kavithah dengan memperdayakannya seperti penyata nama sebuah bengkel motor dan resit rasmi.

Ia atas nama bengkel itu dan invois yang dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara bertarikh 14 April 2020 sebagai tulen.

Perbuatan itu telah mendorong Kavithah untuk menyerahkan RM331,046.40 ke dalam akaun bengkel motor tersebut yang mana ia tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di MITRA, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 14 April 2020 hingga 3 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Anbalahgan juga mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan penyata bank Hong Leong palsu dan lapan resit rasmi palsu atas nama bengkel itu.

Artikel Berkaitan:

Ia turut membabitkan empat invois palsu yang telah dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir prestasi pelaksanaan yang sama, di tempat dan tarikh serupa.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000.

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhampiran dan tidak mengganggu saksi,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, M Yoges yang mewakili Anbalahgan, memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap memandangkan telah diisytiharkan muflis.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Suzana turut membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran iaitu RM5,000 pada Rabu, manakala baki RM5,000 pada 4 Oktober dan selebihnya 11 Oktober.

Mahkamah menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.