Mahkamah tolak permohonan Zahid Hamidi dapatkan pasport

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah (CBT) dan rasuah, gagal lagi untuk mendapatkan pasport bagi mengerjakan ibadah umrah.

Rayuan beliau diketepikan hari ini oleh Mahkamah Rayuan, susulan keputusan sebulat suara tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan.

Semasa menyampaikan keputusan itu, Hakim Umi Kalthum yang mengetuai kumpulan itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat pertimbangan wajar dengan menolak permohonan perayu (Ahmad Zahid).

“Kami mendapati bahawa kami tidak mempunyai sebab untuk mencampuri tindakan oleh yang arif hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mei, tahun ini yang mengetepikan permohonan beliau bagi pemulangan sementara pasport beliau untuk mengerjakan umrah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menyatakan bahawa walaupun ibadah mengerjakan umrah disarankan semasa bulan puasa namun ia bukanlah wajib. Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di atas 46 pertuduhan merangkumi 11 dakwaan CBT, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 20 Februari lepas, beliau didakwa dengan satu lagi CBT membabitkan RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi menetapkan 18, 20, 21, 22 November dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12 dan 13 Disember untuk perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan hujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi berkenaan gagal mempertimbang secara memadai terhadap permohonan yang dibuat dengan niat baik dan perayu telah memberi jaminan kepada mahkamah bahawa pasportnya akan dipulangkan sebaik saja beliau pulang.

“Mahkamah Tinggi itu juga gagal untuk menghargai bahawa perayu telah memberi butiran penerbangan dan penginapan kedua-duanya di Madinah dan Mekah dan walaupun pertuduhan berkenaan adalah serius, kenyataan ini tidak seimbang dengan prinsip asas anggapan terhadap ketulusan,” katanya. Ahmad Zahid yang diberi peluang untuk bercakap di mahkamah berkata: “Saya berniat untuk menunaikan umrah atas sebab telah bernazar dan oleh kerana nazar wajib mengikut tuntutan agama Islam, saya mohon kepada mahkamah agar permohonan saya diizinkan atas dasar pegangan saya kepada agama Islam.” katanya.

Timbalan pendakwaraya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi membantah rayuan itu dengan berkata bahawa Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan yang serius.

“Bukan tujuan kerajaan ingin menghalang ibadah seseorang tetapi disebabkan tertuduh menghadapi tuduhan serius jadi harus dicegah daripada berlaku sesuatu di kemudian hari. Ini adalah tindakan pihak pendakwaan untuk mencegah daripada berlakunya perlanggaran syarat-syarat jaminan.

“Kami turut menghujahkan bahawa permohonan ini sangat longgar dan hakim Mahkamah Tinggi telah menilai sepenuhnya (sebelum membuat keputusan) dan telah menjalankan budi bicaranya secara adil,” katanya. - Bernama