Belanjawan 2024 diharap beri keutamaan institusi, pendidikan Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika bertemu pengamal media selepas Penyampaian Sumbangan kepada penyanyi veteran Zaiton Sameon di sebuah pangsapuri di Ampang hari ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika bertemu pengamal media selepas Penyampaian Sumbangan kepada penyanyi veteran Zaiton Sameon di sebuah pangsapuri di Ampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berharap pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen bulan depan akan terus memberi keutamaan kepada penambahbaikan institusi dan pendidikan Islam.

Beliau berkata, kolaborasi dan kerjasama strategik yang harmoni di antara kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi platform berkesan dalam menyelaras serta memperkasakan lagi sistem pendidikan Islam di negara ini.

"Sistem pendidikan Islam di negara ini begitu unik, ia bukan sahaja diselaras dan dilaksana di bawah kerajaan Persekutuan malah turut dilaksana kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri untuk mengawal selia serta memajukan pengajaran dan pengembangan agama Islam di negeri masing-masing.

"Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar lbrahim dari semasa ke semasa berusaha memperkasa institusi pendidikan Islam di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK),” katanya pada penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) ke-9 di sini, pada Ahad.

Mohd Na'im berkata, sebanyak RM1.5 bilion diperuntuk bagi tujuan pengurusan hal ehwal agama dalam belanjawan tahun lepas.

MIISMAM merupakan acara kokurikulum peringkat kebangsaan berasaskan elemen kesenian dan kreativiti yang mempertandingkan 11 acara melibatkan kategori lelaki, perempuan serta terbuka.

Mohd Na'im berkata, penganjuran MIISMAM, yang merupakan acara kokurikulum peringkat kebangsaan berasaskan elemen kesenian dan kreativiti, menjadi antara agenda bersama dalam mengaplikasi konsep Malaysia Madani dengan elemen pembangunan insaniah menjadi tonggak dasar yang dipacu oleh negara ketika ini.

"Program MIISMAM begitu signifikan dengan Teras Kepimpinan Berdaya Cipta dalam Pelan Transformasi al-Falah yang antaranya memeta fokus pengukuhan kepimpinan generasi muda, komuniti dan pemerkasaan kesenian Islam.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia dapat mengetengahkan murid peringkat menengah yang berpotensi besar sebagai bakal da’ie (pendakwah) dan pemimpin yang kompeten di masa hadapan," katanya.

MIISMAM edisi kali ini, yang melibatkan kategori lelaki, perempuan dan terbuka, berlangsung selama tiga hari bermula 22 Sept serta berakhir hari ini menyaksikan Kedah muncul juara keseluruhan selepas memenangi empat daripada 11 acara yang dipertanding. - Bernama