Belanjawan 2024 bantu Perak lahirkan atlet bertaraf dunia

Khairudin (kanan) melibatkan pingat emas dimenangi Aleena ketika Kejohanan Dunia Boling Padang selepas menyampaikan sumbangan kepada dua atlet Perak yang berjaya memenangi pingat ketika Kejohanan Dunia Boling Padang di pejabatnya, di sini pada Selasa.
Khairudin (kanan) melibatkan pingat emas dimenangi Aleena ketika Kejohanan Dunia Boling Padang selepas menyampaikan sumbangan kepada dua atlet Perak yang berjaya memenangi pingat ketika Kejohanan Dunia Boling Padang di pejabatnya, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengharapkan peruntukan khusus untuk melahirkan atlet bertaraf dunia disediakan di dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, Perak antara negeri yang melahirkan atlet bertaraf dunia melibatkan sukan utama seperti boling padang, muaythai, sepak takraw, hoki, terjun dan sebagainya.

Menurutnya, peruntukan khusus wajar diberikan kepada negeri-negeri yang mempunyai atlet kebangsaan untuk memastikan prestasi mereka sentiasa konsisten.

"Sememangnya atlet ini hasil daripada produk negeri Perak berdasarkan pembangunan yang disusun oleh Majlis Sukan Negeri dan sudah pastilah saya mengharapkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan memberi tumpuan kepada sukan-sukan yang melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.

"Kita perlu lihat sukan yang memberi impak dan pencapaian besar, khususnya kepada negeri Perak dan juga Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada dua atlet Perak yang berjaya memenangi pingat ketika Kejohanan Dunia Boling Padang di pejabatnya, di sini pada Selasa.

Khairudin berkata, atlet-atlet berkenaan merupakan prospek pingat untuk negara dan sewajarnya diberikan peruntukan khusus dalam pelbagai bentuk sama ada pemberian insentif, penyediaan kemudahan dan sebagainya.

Perak mempunyai beberapa atlet bertaraf antarabangsa termasuklah Juara Muaythai Dunia tiga kali, Mohamad Rifdean Masdor; pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Boling Padang, Aleena Nawawi.

Selain itu, pasukan hoki Perak juga menjadi juara Piala Tun Abdul Razak berturut-turut sejak 2020.

Artikel Berkaitan: