Arah Radzi Jidin keluar dewan, gantung tugas rencat proses demokrasi - Zuraida

ZURAIDA
ZURAIDA
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mengarahkan ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin untuk keluar dari Dewan Rakyat bukan sahaja merencatkan proses demokrasi tetapi penghinaan kepada tempat perbahasan.

Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dewan berkenaan sepatutnya menjadi medan utama untuk membincangkan permasalahan umum dengan bebas.

“Sekalipun terdapat sebilangan ahli Parlimen di pihak kerajaan tidak senang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Radzi, perdebatan di dalam dewan adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Pertelingkahan antara kedua-dua ahli Parlimen (Radzi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyebabkan ahli Parlimen Putrajaya diarahkan keluar dewan, yang mana tindakan ini juga dilihat amat tidak demokratik, sedangkan provokasi dengan mengeluarkan kenyataan tuduhan adalah berpunca daripada Ahli Parlimen Tambun (Anwar),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 19 September, media melaporkan Dewan Rakyat kecoh apabila Radzi (PN-Putrajaya) bangkit meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.

Rentetan daripada itu, Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk menggantung tugas Radzi kerana berkelakuan biadab.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, adalah tidak wajar untuk Radzi dikenakan tindakan gantung tugas kerana interaksi antara Radzi dan Anwar merupakan satu perkara biasa di dalam Parlimen.

“Tindakan berat sebelah yang dilakukan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat ketika itu dan saranan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada Ahli Parlimen Putrajaya itu bukanlah satu tindakan yang wajar kerana ia menyekat kebebasan ahli parlimen untuk bersuara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa kenyataan balas yang dibuat oleh ahli Parlimen Putrajaya di dalam dewan dengan menyebut tentang kes jenayah terhadap ahli Parlimen Tambun merupakan fakta dan bukannya fitnah.