Gantung tugas Radzi Jidin - Shamsul Iskandar

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk menggantung tugas Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin kerana berkelakuan biadab.
Pengerusinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada Rabu.
“Mesyuarat hari ini sebulat suara membidas tindakan biadab Mohd Radzi dan berpendirian bahawa beliau mesti dihukum atas kenyataan jahat yang dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seterusnya, keengganan beliau mematuhi arahan Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat di dalam Parlimen sewaktu sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) semalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.