'Aku tak takut kepada sesiapa selain ALLAH SWT' - Radzi Jidin

Hantaran Mohd Radzi di laman Facebook beliau pada Selasa.
Hantaran Mohd Radzi di laman Facebook beliau pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin membuat hantaran di laman Facebooknya dipercayai berkaitan dengan kekecohan di Dewan Rakyat ketika penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Mohd Radzi berkata, solat, ibadah, hidup dan mati hanya kerana ALLAH SWT.

"Aku tak takut kepada sesiapa selain ALLAH SWT," tulisnya pada Selasa.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila Mohd Radzi (PN-Putrajaya) bangkit meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.

Kekecohan berlarutan selama beberapa minit apabila pemimpin-pemimpin pembangkang turut bangkit mempertahankan Mohd Radzi.

Susulan itu, Johari meminta Anwar memberi penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat, namun gagal memuaskan hati pembangkang.

Mohd Radzi secara berterusan meminta keadilan bagi pihaknya dan mendesak Johari agar meminta Anwar menarik balik kenyataan itu.

Johari bagaimanapun menjelaskan, Anwar telah memberi penjelasan yang sewajarnya dan meminta semua ahli dewan duduk untuk memberi laluan penggulungan diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu membuatkan Mohd Radzi tidak berpuas hati dan terus bersuara serta kelihatan agak emosi.

Keengganan Mohd Radzi untuk memberi laluan kepada sesi penggulungan akhirnya menyebabkan Johari membuat keputusan memintanya keluar dewan.

Atas dasar maruah ahli Parlimen mereka, kesemua pemimpin pembangkang sepakat keluar dewan bersama Mohd Radzi.