Peka kecewa kenyataan MB Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) meluahkan kekecewaan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mengganggu pentadbiran kerajaan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kehadiran NGO dalam sesuatu isu sebagai semak dan imbang dengan memberikan pandangan serta hujah bebas berkecuali dalam sesuatu krisis.

Beliau berkata, dalam hal orang asli di Perak, kampung dan tanah mereka merangkumi sebahagian besar hutan Perak yang terjejas akibat pembalakan.

"Sebagai ketua kerajaan Perak, Ahmad Faizal tidak boleh hanya bangga dengan pencapaian pentadbirannya tetapi mesti mengambil tanggungjawab dan mengaku kegagalannya dalam menyelesaikan isu orang asli.

"Paling penting, kerajaan tidak boleh menyalahkan orang lain terutama NGO apabila situasi tidak menjadi sepertimana yang diidamkan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu dalam temubual khas bersama media sempena setahun pemerintahan PH di Perak, Ahmad Faizal mengharapkan NGO yang cuba menjadi juara terhadap permasalahan orang asli supaya ikhlas membantu masyarakat itu dan tidak mempergunakan kaum orang asli untuk menghalang kerajaan negeri mendapatkan hasil terutama daripada pembalakan.

Sementara itu, Shariffa Sabrina berkata, Peka mengulangi pendirian menggalakkan pembangunan lestari yang mengutamakan aspek alam sekitar setimpal dengan aspek pembangunan lain.

Katanya, kerajaan Perak boleh menjamin masa depan negeri dan kemakmuran rakyat sekiranya mereka mengutamakan pembangunan lestari.

Artikel Berkaitan:

"Kami meminta kerajaan Perak dan Ahmad Faizal untuk mempertimbangkan pembangunan lestari dalam pelan pembangunan di negeri itu.

"Tiada sebarang keuntungan sekiranya Perak terus bergantung kepada pembalakan sebagai pendapatan kerana ia menjurus kepada kemusnahan alam sekitar, kepupusan hidupan liar dan penghapusan kehidupan serta budaya orang asli.

Menurut Shariffa Sabrina, sebagai NGO, Peka tidak akan berdiam diri dan membenarkan situasi tersebut berlaku.