Jangan masuk Dewan Rakyat merengek-rengek, bawa 'hearsay' - Fadhlina

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan tidak akan menghentikan sebarang perancangan pembinaan dan infrastruktur pendidikan di semua negeri termasuk kawasan pembangkang.

Menterinya, Fadhlina Sidek mengakui mungkin berlaku kelewatan bagi beberapa projek, namun rancangan tetap diteruskan.

Justeru tegas beliau, setiap wakil rakyat bertanggungjawab membawa fakta yang betul di Dewan Rakyat dan tidak membawa khabar angin dan dakwaan berlaku penghentian projek bawah KPM.

Fadhlina ketika sesi perbahasan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.

 - Foto Bernama
Fadhlina ketika sesi perbahasan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.

 - Foto Bernama

“Ada kelewatan tapi kita tidak pernah menghentikan pembangunan. Kalau nak jadi Yang Berhormat, bertanggungjawab masuk dewan (Dewan Rakyat) kena pastikan fakta betul.

“Jangan masuk dewan merengek-rengek beritahu 'hearsay'...saya dengar itu, saya dengar ini'...(itu) tak betul.

“Ini adalah Dewan yang sangat penting yang akan memastikan semua pembangunan dilaksanakan, ada jaminan untuk disiapkan.

“Tidak perlu gunakan Dewan ini dengan perkataan merengek-rengek, ‘hearsay’ ini,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik siapa wakil rakyat yang dituju, namun kenyataan itu dipercayai bagi mengkritik ahli Parlimen pembangkang yang berulang kali menyatakan kawasan mereka tidak mendapat peruntukan.

Susulan ketegasan yang dinyatakan Fadhlina, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) bangkit menyatakan sokongan dalam masa sama menyatakan kebimbangan mengenai sikap pembangkang yang sering memainkan sentimen bahawa kerajaan memilih bulu dalam memberikan peruntukan.

Beliau juga memetik nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) sebagai contoh.

"Apabila Muar keluar daripada kerajaan, dia cuba bangkitkan persepsi bahawa kerajaan itu memilih bulu untuk tidak jaga kawasan pembangkang dan lebih membimbangkan saya adalah jika ada satu kes, dia akan akan terus bangkitkan dan kata kerajaan pilih bulu," katanya.

Tindakan Kar Hing itu mencetuskan rasa tidak puas hati Syed Saddiq yang kemudiannya bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan memohon untuk respons terhadap Kar Hing.

Syed Saddiq mempertahankan dakwaannya bahawa kerajaan menarik balik peruntukan kepadanya sebaik sahaja beliau tidak lagi bersama Kerajaan Perpaduan.

Dakwa beliau, pengesahan mengenai perkara itu diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sendiri.

“Dalam bab ini, saya dapat pengesahan daripada ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sebaik saja saya berada di blok ini peruntukan telah ditarik dan dikosongkan.

“Persoalan sama kepada semua ahli Parlimen pembangkang, yang saya yakin sehingga ke hari ini tidak dapat peruntukan. Dalam RM3.8 juta yang semua ahli Parlimen kerajaan dapat, RM2 juta boleh diperuntukkan untuk bina dewan, baik pulih sekolah dan bantu orang susah.

“Jangan nak tuduh. Persoalan, kenapa ahli Parlimen kerajaan boleh dapat RM4 juta, pembangkang dapat RM0. Jawab kepada rakyat,” katanya.

‘Kekecohan’ tersebut reda selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor meminta Menteri Pendidikan meneruskan kembali penggulungan beliau.