Dewan Rakyat kecoh, usul pembangkang bahas kes Zahid ditolak

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula pada Isnin kecoh apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bangkit untuk membuat bantahan pada pembukaan sidang berkenaan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau akan memberi ruang kepada Machang selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap.

"Kita telah bincang dengan Machang tadi untuk berada keadaan lebih tenang, nak semua orang dapat manfaat.

"Kita nak dengar benda penting, saya akan bagi peluang lepas perdana menteri berucap," katanya.

Namun ia menimbulkan tidak puas hati Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya sama ada usul untuk membahaskan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi diluluskan atau tidak.

Takiyudin turut mempersoalkan bagaimana untuk Machang bercakap sedangkan usul tersebut tidak diterima.

Beliau juga membangkitkan dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) selaku Perdana Menteri telah membuat keputusan bagi pihak Johari.

Namun, Johari menafikan dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"PM sebut di luar Parlimen dan itu bukan keputusan saya.

"Dia tidak membuat keputusan bagi pihak saya. Keputusan saya adalah saya akan beri ruang kepada Machang," kata Johari.

Kekecohan yang berlangsung selama kira-kira 18 minit itu turut mengundang reaksi ahli parlimen kerajaan antaranya Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyelar tindakan pembangkang kerana mengganggu perjalanan sidang termasuk menuduh Johari bersekongkol dengan Anwar.

Ketika kekecohan tersebut, Wan Ahmad Fayhsal bangkit memaklumkan usul tersebut telah ditolak.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) kemudiannya mempersoalkan bagaimana ia boleh dibahaskan jika sudah ditolak.

Johari membalas, beliau mempunyai hak untuk tidak memberi sebarang ruang kepada Machang kerana usul telah ditolak namun tetap membuat keputusan tersebut.