Soalan "mana menantu Pagoh?" hangatkan Dewan Rakyat

Kekecohan bermula apabila Datuk Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) tiba-tiba mempersoalkan di manakah maruah PKR dan DAP yang sebelum ini mahu memperjuangkan keadilan. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Kekecohan bermula apabila Datuk Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) tiba-tiba mempersoalkan di manakah maruah PKR dan DAP yang sebelum ini mahu memperjuangkan keadilan. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat pada Selasa kecoh selepas beberapa ahli Parlimen dari blok kerajaan mencelah pada penghujung perbahasan beliau.

Kekecohan bermula apabila Datuk Mohd Radzi Md Jidin (PN - Putrajaya) tiba-tiba mempersoalkan di manakah maruah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sebelum ini mahu memperjuangkan keadilan.

Menurutnya, di sebalik ketegasan kedua-dua parti itu, timbul pula keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, baru-baru ini.

“Di mana maruah PKR, di mana maruah DAP yang kononnya memperjuangkan keadilan.

Sembang kencang boleh, bila berhadapan dengan hakikat keadilan, mereka senyap-sesenyapnya,” katanya.

Tidak lama selepas itu, beberapa ahli Parlimen blok kerajaan antaranya Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading,) Lee Chean Chung (PH - Petaling Jaya) dan Khoo Poay Tiong (PH - Kota Melaka) turut bangkit mencelah.

Begitupun, Hamzah tidak memberikan laluan kepada ketiga-tiga ahli Parlimen itu menyebabkan salah seorang daripada mereka, Poay Tiong yang dilihat seperti tidak berpuas hati.

“Mana anak menantu Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), mana anak menantu Pagoh saya nak tanya,” katanya berulang kali.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) kemudian bangkit, mempersoalkan kenyataan dibuat oleh Poay Tiong.

Ronald berkata, kenyataan dibuat oleh Poay Tiong itu bercanggah dengan Peraturan 36 (9) di mana tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana ahli Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor kemudian meleraikan kekecohan itu. - Awani