China pula 'lawat' Rusia

Pertemuan Jong-un (kiri) bersama Putin pada minggu lalu kurang disenangi Barat. - Foto: Agensi
Pertemuan Jong-un (kiri) bersama Putin pada minggu lalu kurang disenangi Barat. - Foto: Agensi
A
A
A

BEIJING - Menteri Luar China, Wang Yi 'menyambut baton' dari Korea Utara bagi memulakan lawatan selama empat hari ke Rusia pada Isnin untuk tujuan rundingan keselamatan.

Kementerian Luar mengesahkan Yi mengadakan kunjungan ke negara sekutu strategik mereka atas jemputan Setiausaha Majlis Keselamatan, Nikolai Patrushev.

"Ia adalah 'acara rutin' yang bertujuan untuk menggalakkan pembangunan hubungan dua hala dan menjalankan komunikasi secara lebih mendalam tentang isu penting membabitkan kepentingan keselamatan strategik Beijing dan Moscow," jelas kementerian itu lagi.

Kremlin memaklumkan Yi akan turut bertemu rakan sejawatannya, Sergei Lavrov selepas kedua-duanya merancang untuk memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

"Mereka akan saling bertukar pendapat tentang konflik di Ukraine dan cara memastikan kestabilan serta keselamatan di rantau Asia Pasifik," kata jurucakapnya.

Sementara itu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden Vladimir Putin atas 'layanan VIP' yang diterima beliau sepanjang lawatan selama enam hari di Rusia.

Kedua-dua negara berkuasa nuklear itu semakin memperkukuhkan lagi hubungan hingga mengundang rasa kebimbangan Barat setelah Jong-un diberi peluang untuk melawat kemudahan senjata Moscow malah beliau turut melakukan pertukaran simbolik raifal bersama Putin.

Tidak hanya itu, Jong-un juga menerima 'hadiah' berbentuk dron termasuk jenis kamikaze dan ves kalis peluru yang diberikan Gabenor Wilayah Primorye yang terletak bersempadan China dan Korea Utara.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Jong-un menamatkan kunjungan rasmi itu dengan menaiki kereta api di bandar Artyom di utara pelabuhan Vladivostok untuk kembali semula ke Pyongyang.

"Beliau mendoakan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Rusia," lapor KCNA. - AFP