PM, Menteri Luar digesa diberi penjelasan isu Ambalat

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan terperinci berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.

Beliau berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu Ambalat agar ia tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

"Pembahagian sempadan maritim Malaysia dan Indonesia ini sebenarnya ada lebih daripada dua isu. Namun, hanya dua yang ditandatangani dan menimbulkan persoalan terutamanya bagi kawasan yang digelar Ambalat.

"Persoalannya, adakah ia (kawasan Ambalat) termasuk dalam dua perjanjian yang ditandatangani itu Jadi, sebab itu, saya minta PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) memberi penjelasan tentang isu ini. Biar rakyat faham dan jelas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Indera Mahkota di sini pada Jumaat.

Blok laut Ambalat adalah seluas 15,235 kilometer persegi terletak di Selat Makassar dan mempunyai potensi luar biasa terutama membabitkan hasil minyak.

Terdapat satu titik perlombongan di Ambalat yang mempunyai simpanan potensi 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas.

Mengulas lanjut, Saifuddin juga bekas Menteri Luar bagaimanapun enggan membuka mulut berkaitan blok Ambalat itu.

Dia mengakui mengetahui jawapan berhubung isu Ambalat.

"Saya tidak boleh jawab kerana ia diluar bidang kuasa saya. Malah, saya tiada masalah berkenaan perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini kerana ia juga pernah dirunding ketika saya memegang jawatan Menteri Luar.

"Cadangan untuk tandatangan dua perkara itu telah pun dibawa oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri sewaktu bertemu Presiden Indonesia. Cuma tak sempat nak tandatangan.

“Jadi ia telah ditandatangani oleh PM (Anwar) bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo sekitar awal Jun lalu,” ujarnya lagi.

Anwar menandatangani perjanjian persempadanan maritim dengan Indonesia pada 8 Jun lalu selepas perbincangan dengan pakar daripada Maritim Malaysia, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Negara serta Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Pusat Hidrografi Nasional.

Anwar berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo telah menyelesaikan isu persempadanan yang berlanjutan selama 18 tahun.