Komuter percuma Ipoh-Butterworth selama dua hari

Tawaran perkhidmatan percuma selama dua hari terhad bagi perjalanan sehala dari tiga stesen baharu iaitu Stesen Ipoh, Stesen Sungai Siput dan Stesen Kuala Kangsar ke stesen lain di laluan KTM Komuter antara Ipoh ke Butterworth. (Gambar kecil: Saarani)
Tawaran perkhidmatan percuma selama dua hari terhad bagi perjalanan sehala dari tiga stesen baharu iaitu Stesen Ipoh, Stesen Sungai Siput dan Stesen Kuala Kangsar ke stesen lain di laluan KTM Komuter antara Ipoh ke Butterworth. (Gambar kecil: Saarani)
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak bersama Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tambang percuma selama dua hari perkhidmatan KTM Komuter bagi tiga stesen baharu iaitu Ipoh, Sungai Siput dan Padang Rengas ke stesen lain sehingga Butterworth.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tawaran yang akan berlangsung pada 16 dan 17 September itu diberikan sebagai mempromosi serta menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan komuter tersebut.

Menurutnya, lanjutan perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Butterworth ke Padang Rengas ke Stesen Ipoh baru-baru ini akan membawa impak positif kepada negeri Perak, termasuk merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan dalam

negeri.

“Tawaran perkhidmatan percuma selama dua hari ini terhad bagi perjalanan sehala hanya dari tiga stesen yang baharu iaitu Stesen Ipoh, Stesen Sungai Siput dan Stesen Kuala Kangsar ke stesen lain di laluan KTM Komuter antara Ipoh ke Butterworth.

"Sinergi dengan pihak-pihak ini bakal diteruskan bagi merancakkan industri pelancongan rail tourism terutamanya dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2024 melalui pelbagai perancangan yang giat diatur untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Saarani berkata, inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan melalui KTMB itu turut membantu memudahkan urusan harian penduduk negeri ini ke tempat kerja, membeli belah, bercuti dan sebagainya.

Perjalanan dari Stesen Butterworth ke Stesen Ipoh mengambil masa selama sejam 56 minit dengan kadar tambang dewasa adalah RM12.80 sehala manakala kadar tambang konsesi bagi kanak-kanak, warga emas, dan orang kurang upaya adalah RM6.40 sehala.

Artikel Berkaitan:

Tren pertama dari Stesen Ipoh ke Stesen Butterworth bermula jam 4.40 pagi, manakala dari Stesen Butterworth ke Stesen Ipoh pada jam 5.30 pagi. Tren terakhir yang beroperasi dari Stesen Ipoh adalah jam 6.35 petang dan dari Stesen Butterworth jam 7.10 malam.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket secara dalam talian dan merancang perjalanan menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan MyRailtime yang disediakan. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Appstore, Play Store dan App Gallery.

Untuk pertanyaan lanjut dan pertanyaan berkaitan promosi terkini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB.