'Saya tidak menipu kes rasuah Guan Eng' - Saksi

Guan Eng (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi perbicaraan kes rasuahnya membabitkan pertuduhan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang, bernilai RM6.3 bilion. - Foto Bernama
Guan Eng (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen hari ini bagi perbicaraan kes rasuahnya membabitkan pertuduhan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang, bernilai RM6.3 bilion. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menyangkal cadangan bahawa dia menipu ketika memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng.

Ibrahim Sahari berkata demikian selepas peguam, Gobind Sing Deo mencadangkan, kenyataannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor tidak konsisten dengan maklumat yang diberi di mahkamah ini.

Perkara itu dimaklumkan ketika prosiding kes meminta dan menerima suapan serta dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.3 billion yang dihadapi Guan Eng.

Ketika mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini, peguam, Gobind Singh Deo berkata, Ibrahim, 59, bersama seorang lagi Pengarah CZBUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (saksi pendakwaan ke-23) berbohong di mahkamah ini.

“Saya tidak menipu, saya tidak tahu sama ada Zarul Ahmad berbohong atau tidak, kena tanya beliau sendiri,” katanya.

Semasa prosiding di Shah Alam pada 28 Jun 2022, Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa, Zarul Ahmad telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepadanya, bahawa beliau (Zarul Ahmad) telah membuat pembayaran kepada Guan Eng sejurus dibebaskan dari tahanan.

Ibrahim juga mengaku menyediakan invois dan baucar palsu yang mana wang itu digunakan untuk merasuah Pengerusi DAP itu.

Pada 2019, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan rasuah RM19 juta, melibatkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, saksi ini juga berkata, tiada tuntutan sivil berhubung penyerahan RM19 juta dibuat terhadap Ahli Parlimen Bagan tersebut.

Ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Tiara Katrina Fuad yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, wang tersebut diberi kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja.

Tiara Katrina kemudiannya mencadangkan, wang RM2 juta yang termasuk dalam RM19 juta berkenaan juga, tidak diberi kepada pemimpin DAP ini pada Ogos 2017 lalu.

Ia adalah berhubung keterangan bersumpah Ibrahim di Mahkamah Shah Alam membabitkan kes menipu dihadapi Gnanaraja.

Ibrahim berkata, dalam mesyuarat lembaga pengarah, perkara itu tidak dikaitkan dengan kes Guan Eng sebaliknya membabitkan kes penipuan yang dihadapi Gnanaraja.

Tiara Katrina: Setuju atau tidak, kes berkaitan anak guam saya ini, membabitkan RM2 juta, yang mana ia tidak pernah diberikan kepadanya.

Ibrahim: Zarul Ahmad sahaja yang tahu, saya tidak tahu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Azura Alwi bersambung 23 Oktober depan.