Pembangkang halang Guan Eng tanya isu Pulau Pinang milik Kedah

Pembangkang cuba halang Guan Eng tanya isu Pulau Pinang milik Kedah.
Pembangkang cuba halang Guan Eng tanya isu Pulau Pinang milik Kedah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang cuba untuk menghalang Lim Guan Eng (PH-Bagan) membangkitkan soalan berkenaan kenyataan Pulau Pinang milik Kedah oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Dewan Rakyat.

Perkara tersebut dimulakan oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tampil berdiri membacakan peraturan mesyuarat 23(1)(C) yang mana sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati.

Menurutnya, soalan pertama oleh Guan Eng berkenaan gesaan Sanusi untuk memadam Pulau Pinang daripada Perlembagaan adalah mengelirukan kerana Menteri Besar Kedah itu tidak menyatakan perkara berkaitan.

“Soalan pertama mengandungi perkara-perkara yang mengandungi fikiran dan sangkaan. Perkataan seperti ‘yang telah memecahbelahkan perpaduan rakyat’ itu merupakan andaian sangkaan.

“Padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan itu berasaskan fakta yang tidak tepat,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Bagaimanapun, setelah meneliti dan membuat pertimbangan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul Ghani membenarkan soalan tersebut diajukan.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang lain yang turut cuba menghalang adalah Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Awang menegaskan bahawa berdasarkan peraturan mesyuarat 36 (6), ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli lain.

“Soalan Bagan ini tidak diperkatakan oleh Menteri Besar Kedah. Ini satu kenyataan yang timbulkan suasana tidak sihat,” ujarnya.

Menurut Johari, sekiranya terdapat ahli Dewan Rakyat yang tidak berpuas hati dengan isu tersebut, boleh menghantar surat usul kepadanya.

Bagaimanapun, soalan tersebut masih diteruskan untuk diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.