20 Julai pengurusan kes saman Guan Eng terhadap Muhyiddin

 Lim Guan Eng, Muhyiddin Yassin
Lim Guan Eng, Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan kes saman fitnah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi di sini, ditetapkan pada 20 Julai depan.

Peguam, Guok Ngek Seong yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, semasa prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain pada Isnin, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan afidavit sebelum pengurusan kes itu dan penetapan tarikh perbicaraan.

Pada 27 Mac lalu, Pengerusi DAP itu memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri ini, berhubung tuduhan mengaitkannya dengan pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary.

Guan Eng, 63, selaku plaintif memfailkan writ saman itu melalui Tetuan Guok Partnership dengan menamakan bekas Perdana Menteri itu sebagai defendan tunggal.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfitnah dalam laman Facebook miliknya selepas dibebaskan daripada tahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac.

Guan Eng mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau selaku Menteri Kewangan (ketika itu) telah membatalkan pengecualian cukai yang diluluskan kepada yayasan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenyataan itu sengaja dibuat bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam kerana Muhyiddin mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar ketika itu tertumpu kepadanya.

Katanya, ia turut membawa maksud saya menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan, walhal ia tidak patut dikenakan cukai.

Pada 22 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Guan Eng membuat laporan polis terhadap Muhyiddin berhubung tuduhan tersebut.

Guan Eng berkata, laporan tersebut dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin mengulangi fitnah terhadap beliau dalam satu kenyataan media dan sidang media pada 11 dan 12 Mac lepas.

Guan Eng turut mencabar Muhyiddin untuk menunjukkan bukti bahawa beliau membatalkan pengecualian cukai terhadap yayasan berkenaan.