Ditipu scammer tawar inap desa tak wujud

Tangkap layar komen Nurul Aneeyamirah selepas menjadi salah seorang mangsa scammer yang menawarkan penginapan di sebuah inap desa di daerah Kuala Selangor pada Sabtu lalu.
Tangkap layar komen Nurul Aneeyamirah selepas menjadi salah seorang mangsa scammer yang menawarkan penginapan di sebuah inap desa di daerah Kuala Selangor pada Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang pekerja badan berkanun menjadi mangsa penipuan scammer yang menawarkan penginapan di sebuah inap desa di daerah Kuala Selangor pada Sabtu lalu.

Nurul Aneeyamirah Razali,31, berkata, dia menempah rumah inap desa itu selepas tertarik dengan tawaran dijanjikan seorang pemilik akaun Facebook di laman sosial berkenaan.

Menurutnya, segalanya bermula apabila dia bertanya dengan 'pemilik' inap desa tentang pakej inap desa melalui aplikasi WhatsApp.

"Individu itu memberitahu saya perlu membayar deposit RM100 terlebih dahulu untuk menempah penginapan di sana.

"Saya tanpa rasa curiga kemudiannya memindahkan wang deposit sebanyak RM100 ke akaun bank atas nama seorang wanita," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia bersama suami dan dua lagi anaknya tiba kira-kira jam 6 petang keesokannya menyedari inap desa ditempahnya tidak wujud.

"Saya yang tiba di lokasi gagal menemui inap desa yang ditempah dan cuba hubungi individu tersebut, namun hampa apabila panggilan dan WhatsApp tidak berbalas.

"Masa itu baru saya menyedari sudah ditipu scammer dan perasaan masa itu memang sedih, tapi lebih terkilan melihat dua anak kecil sudah keletihan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia dan keluarga kemudian membatalkan hasrat untuk menginap di Kuala Selangor, sebaliknya membuat keputusan pulang semula ke rumah mereka di Klang.

"Saya bukanlah mangsa pertama ditipu, sebaliknya selepas membuat hasil pencarian di Facebook terkejut apabila pemilik akaun sama telah menipu beberapa lagi mangsa," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, dia bercadang untuk membuat laporan polis bagi memberi pengajaran kepada individu terbabit.

"Saya berharap tiada lagi mangsa terlibat selepas ini, cukuplah saya dan beberapa lagi mangsa sudah terkena serta berharap polis mengambil tindakan tegas," tambahnya.